Rabu, 29 Disember 2021 | 9:54pm
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran di pelabuhan Latakia di utara Syria, akibat serangan Israel. - Foto EPA
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran di pelabuhan Latakia di utara Syria, akibat serangan Israel. - Foto EPA

2 tentera awam maut dalam serangan Israel

BEIRUT: Serangan dilakukan Israel membunuh sekurang-kurangnya dua anggota tentera awam prokerajaan di pelabuhan Latakia, Syria, dakwa pemantau perang hari ini.

Kejadian berlaku sebelum waktu Subuh semalam, menyaksikan serangan kedua dilancarkan Israel ke atas hab kargo utama sejak meletusnya perang sivil Syria pada 2011.

Hampir 30 serangan dilancarkan Israel ke atas Syria pada tahun ini, sehingga mengakibatkan banyak kontena terbakar.

"Dua ahli prorejim tentera awam maut dalam serangan oleh Israel," dakwa Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpusat di Britain.

"Mereka mengalami kecederaan serius dan meninggal dunia kerana cedera di hospital di Latakia pada Rabu," tambah pemantau itu.

Tiga lagi pejuang tentera awam turut cedera dalam kejadian sama.

Menurut laporan media tempatan Syria, serangan ke atas kontena mengandungi minyak enjin dan alat ganti untuk kereta serta kenderaan lain.

Sebaliknya, badan pemantau itu mendakwa kargo berkenaan kononnya mengandungi senjata dan peluru.

Sekutu kerajaan Syria, Iran mengutuk serangan udara itu apabila menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan dan tidak bermoral serta contoh krisis provokasi di rantau didalangi Israel.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh, mendakwa Israel 'mempermainkan semua undang-undang dan norma antarabangsa dengan bertindak melakukan serangan berulangan ke wilayah Syria dengan alasan palsu.

Sejak mula konflik, Israel secara rutin melakukan serangan udara ke atas negara jirannya yang dalam persengketaan.

Kebanyakan serangan menyasarkan tentera kerajaan Syria serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah.

Pada tahun ini, Israel melancarkan serangan ke atas Syria hampir 30 kali, membunuh 130 orang termasuk lima orang awam serta 125 pejuang setia, menurut angka dikumpulkan badan pemantau itu.

Konflik di Syria pula membunuh hampir 500,000 orang sejak ia meletus pada 2011 dan diburukkan lagi dengan penindasan kejam ke atas peserta demonstrasi aman. - AFP

Berita Harian X