Rabu, 29 Disember 2021 | 1:03pm
Gambar hiasan menunjukkan butiran emas yang dilombong. - Foto NSTP
Gambar hiasan menunjukkan butiran emas yang dilombong. - Foto NSTP

Lebih 30 terbunuh dalam runtuhan lombong emas di Sudan

KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 31 pelombong terbunuh dan lapan lagi hilang di Sudan semalam selepas sebuah lombong emas runtuh, kata jurucakap rasmi kerajaan.

Bencana itu berlaku berhampiran Nuhud, sebuah bandar kira-kira 500 kilometer (km) di barat Khartoum, kata Ketua Syarikat Sumber Mineral milik kerajaan, Khaled Dahwa, di Kordofan barat.

"Sekurang-kurangnya 31 pelombong terbunuh selepas lombong runtuh," katanya sambil menambah seorang terselamat dan lapan lagi masih hilang.

Seorang lagi pegawai di syarikat sama berkata, empat pelombong terbunuh di lombong sama pada Januari lalu.

"Pihak berkuasa sudah menutup lombong pada masa itu dan memasang penghadang keselamatan, namun beberapa bulan lalu, mereka kembali," katanya.

Perlombongan emas tradisional adalah profesyen berbahaya di Sudan disebabkan banyak infrastruktur yang sudah rosak.

Ia berkembang sekitar sedekad lalu di pelbagai bahagian di negara itu, dengan orang ramai menggali tanah menggunakan jengkaut dengan harapan dapat menemui logam berharga itu.

Kira-kira dua juta pelombong tradisi menghasilkan kira-kira 80 peratus daripada pengeluaran emas tahunan negara iaitu sebanyak 80 tan, menurut angka rasmi.

Sudan, salah satu negara termiskin di dunia, baru-baru ini mengalami inflasi berterusan dan memulakan reformasi sukar ekonominya, termasuk mengurangkan subsidi petrol dan diesel serta melancarkan pengapungan mata wang terurus.

Ia juga dilanda pergolakan politik susulan rampasan kuasa didalangi ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, pada 25 Oktober lalu. - AFP

Berita Harian X