Khamis, 23 Disember 2021 | 11:42am
- Hiasan. FOTO AFP
- Hiasan. FOTO AFP

Angka korban kapal karam di Madagascar meningkat 83 orang

DOUALA (Cameroon): Beberapa lagi mayat ditemukan anggota penyelamat susulan tragedi kapal karam pada awal minggu ini, menurut Agensi Pelabuhan Maritim dan Sungai (APMF) Madagascar, semalam.

"Sejak Isnin lalu hingga semalam, sebanyak 133 mangsa daripada 138 penumpang kapal MS Francia II ditemukan, 50 berjaya diselamatkan, 83 maut, lima masih hilang," kata tulis APMF di media sosial, lapor Agensi Anadolu.

Kapal yang dalam perjalanan dari bandar Mananara Nord menuju ke Soanieranana Ivongo terbalik selepas mengalami kerosakan, menurut agensi pelabuhan itu sambil menambah operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.

Sementara itu, sebuah helikopter terhempas ketika membawa delegasi pihak berkuasa untuk melawat lokasi nahas kapal tersebut.

Mayat Pengarah Keselamatan Pejabat Perdana Menteri, Kolonel Andrianambinina Olivier ditemukan di Fenerive East manakala dua lagi pegawai tentera dilaporkan selamat, menurut Kementerian Pertahanan Madagascar.

Presiden Andry Rajoelina amat sedih dengan kejadian itu dan mengisytiharkan hari ini sebagai hari perkabungan negara. – BERNAMA

Berita Harian X