Rabu, 8 Disember 2021 | 8:00pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Tidak ramai masuk hospital kerana Omicron

CAPE TOWN: Lonjakan kes COVID-19 di Afrika Selatan selepas kemunculan varian Omicron belum menyebabkan kebanjiran pesakit di hospital setakat ini.

Perkembangan itu secara tidak langsung meningkatkan rasa optimis bahawa varian baru itu hanya mengakibatkan gejala ringan bagi kebanyakan kes sekarang.

Perangkaan awal dari Afrika Selatan, yang menjadi pusat penularan varian Omicron, menunjukkan tanda menggalakkan membabitkan tahap kesihatan pesakit.

Saintis dan pegawai kesihatan awam sedang meneliti data yang ada untuk meramalkan kesan Omicron sedang pelbagai soalan timbul mengenai varian baru itu dan pelbagai mutasi yang muncul.

Varian Omicron yang kini menular di Afrika Selatan, mula merebak ke Tokyo, Jepun dan Oslo (Norway) sejak ia mula dikesan pada 25 November 2021.

Kajian awal saintis Afrika Selatan diterbitkan pada Khamis lalu menunjukkan varian Omicron tiga kali lebih berkemungkinan menyebabkan jangkitan semula berbanding varian Delta atau Beta.

Penemuan berdasarkan data yang dikumpul sistem kesihatan negara, memberi bukti epidemiologi pertama mengenai keupayaan Omicron mengelak imuniti daripada jangkitan terdahulu.

Terdapat 35,670 kes yang disyaki jangkitan semula dalam kalangan 2.8 juta individu dengan ujian positif sehingga 27 November lalu, yang mana kes dianggap jangkitan semula jika mereka diuji positif selang 90 hari.

Terdahulu, saintis terkemuka Afrika Selatan yang juga pakar di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Dr Anne von Gottberg, meramalkan lonjakan kes tetapi menjelaskan pihak berkuasa menjangkakan vaksin masih berkesan.

"Kami percaya jumlah kes akan meningkat di semua wilayah di negara ini," katanya pada sidang media bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) rantau Afrika.

namun, beliau percaya vaksin masih dapat melindungi daripada penyakit serius, kemasukan ke hospital dan kematian. - AGENSI

Berita Harian X