Rabu, 8 Disember 2021 | 8:36am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Vaksin Pfizer hanya lindungi sebahagian daripada Omicron - Kajian

JOHANNESBURG: Varian Omicron sebahagiannya boleh mengelak daripada perlindungan imuniti vaksin COVID-19 Pfizer Inc dan rakan kongsi BioNTech, kata ketua penyelidik makmal Institut Penyelidikan Kesihatan Afrika di Afrika Selatan pada Selasa.

Alex Sigal, seorang profesor di Institut Penyelidikan Kesihatan Afrika dalam ciapannya di Twitter berkata terdapat penurunan yang sangat besar dalam peneutralan varian Omicron berbanding strain lebih awal.

Makmal itu menjalankan ujian darah 12 individu yang menerima vaksin Pfizer/BioNTech, menurut manuskrip yang disiarkan di laman web untuk makmalnya. Data awal dalam manuskrip masih belum menjalani kajian semula setara (peer review).

Darah lima daripada enam individu yang diberi vaksin serta sebelum ini dijangkiti COVID-19 masih meneutralkan varian Omicron, kata manuskrip itu.

Menurut manuskrip itu, mereka memerhatikan penurunan 41 kali ganda dalam tahap antibodi peneutralan terhadap varian Omicron.

Menurut Sigal angka itu mungkin akan diselaraskan selepas makmalnya melakukan lebih banyak eksperimen.

Varian Omicron, yang pertama kali dikesan di selatan Afrika bulan lalu mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia mengenai satu lagi lonjakan jangkitan, dengan puluhan negara dari Jepun ke AS melaporkan kes varian berkenaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 26 November mengklasifikasikannya sebagai varian yang dibimbangi (VOC) tetapi berkata tiada bukti bagi menyokong keperluan untuk vaksin baharu yang direka khusus untuk menangani varian Omicron. - AGENSI

Berita Harian X