Selasa, 7 Disember 2021 | 11:26am
Penunjuk perasaan di Sudan berarak membawa bendera negara dan menuntut pilihan raya umum diadakan segera di Khartoum. - Foto AFP
Penunjuk perasaan di Sudan berarak membawa bendera negara dan menuntut pilihan raya umum diadakan segera di Khartoum. - Foto AFP

Polis Sudan tembak gas pemedih mata surai penunjuk perasaan

KHARTOUM: Polis Sudan melepaskan gas pemedih mata ketika ribuan penunjuk perasaan berarak menentang kerajaan dikuasai tentera berhampiran istana presiden di Khartoum semalam.

Penunjuk perasaan berarak dari pelbagai daerah di ibu negara Sudan itu, dengan kebanyakannya membawa bendera negara atau melaungkan 'Katakan Tidak pada Pemerintahan Tentera' dan 'Tentera Khianati Kamu, Rakyat di Jalanan Tidak'.

Mereka turut meletakkan penghadang jalan raya menggunakan batu dan membakar tayar kereta, dengan kepulan asap hitam memenuhi ruang udara.

Jeneral kanan Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, merampas kuasa dan menahan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok. pada 25 Oktober lalu.

Namun, selepas kritikan antarabangsa dan protes besar-besaran, Abdalla kembali dilantik dalam satu perjanjian yang ditandatangani pada 21 November lalu.

Bagaimanapun, pengkritik menyelar perjanjian itu dan menuduh Abdalla 'mengkhianat', dengan aktivis pro demokrasi berikrar akan terus memberi tekanan pada pihak berkuasa.

Jeneral kanan itu sekian lama menegaskan bahawa tindakan pihak tentera bukan satu rampasan kuasa, sebaliknya langkah 'untuk membetulkan transisi' ke arah demokrasi penuh dengan penggulingan presiden autokratik Sudan, Omar al-Bashir pada 2019.

Abdalla, yang menjadi Perdana Menteri bagi kerajaan transisi, mempertahankan perjanjian yang ditandatanganinya selepas dibebaskan daripada tahanan di rumah.

Tegas beliau, bekerjasama dijalin dengan tentera untuk menamatkan pertumpahan darah akibat tindakan keras terhadap protes jalanan menentang rampasan kuasa, selain enggan mempersiakan 'kemajuan dalam tempoh dua tahun lalu'.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan dalam laporannya semalam memaklumkan, 30 peratus penduduk Sudan dijangka memerlukan bantuan kemanusiaan tahun depan>

Agensi itu menyifatkan kadar berkenaan sebagai yang tertinggi dalam tempoh sedekad.

Ia dikatakan berpunca akibat krisis ekonomi Sudan dan pandemik COVID-19, banjir serta penyakit selain Sudan sendiri menjadi hos kepada jutaan pelarian dan individu yang hilang tempat tinggal. - AFP

Berita Harian X