Jumaat, 3 Disember 2021 | 10:11pm
Penduduk setempat menunggu giliran bagi mendapatkan vaksin COVID-19 di klinik kerajaan di Hillbrow, Johannesburg, Afrika Selatan, dengan kerajaan mempertimbangkan syarat mewajibkan inokulasi susulan ancaman varian Omicron. - Foto EPA
Penduduk setempat menunggu giliran bagi mendapatkan vaksin COVID-19 di klinik kerajaan di Hillbrow, Johannesburg, Afrika Selatan, dengan kerajaan mempertimbangkan syarat mewajibkan inokulasi susulan ancaman varian Omicron. - Foto EPA

Kanak-kanak dijangkiti COVID-19 Omicron meningkat di Afrika Selatan

JOHANNESBURG: Ramai kanak-kanak kecil di Afrika Selatan dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti COVID-19 varian Omicron.

Bagaimanapun, doktor di negara itu berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan itu kerana ia tidak mudah dibuktikan.

Sepanjang seminggu sejak Afrika Selatan memaklumkan kepada dunia mengenai penemuan varian baharu COVID-19 itu, jangkitan menular lebih cepat di negara itu berbanding tiga gelombang terdahulu.

Kes berasal dari kluster pertama dikesan dalam kalangan pelajar universiti dan ia merebak cepat dalam kalangan anak muda selain ada potensi untuk menjangkiti golongan lebih tua.

Bagaimanapun, saintis dan pegawai kesihatan berkata mereka melihat lebih ramai kanak-kanak berumur bawah lima tahun dimasukkan ke hospital, dengan kadar positif lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak berumur 10 hingga 14 tahun.

Pakar kesihatan awam dari Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NICD), Dr Wassila Jassat, berkata pihaknya melihat peningkatan mendadak merentasi seluruh kumpulan usia, terutama mereka berumur bawah lima tahun yang dirujuk ke hospital.

"Kes dalam kalangan mereka berumur di bawah lima tahun sekarang ini kedua tertinggi dan kedua selepas kes dalam kalangan mereka berumur lebih 60 tahun," katanya pada sidang media.

Saintis memetik beberapa sebab, antaranya kerana kanak-kanak bawah 12 tahun belum layak divaksinasi di Afrika Selatan.

Doktor melaporkan, kedua-duanya sama ada kanak-kanak atau ibu bapa yang diuji positif tidak divaksin, kata Dr Jassat.

Ketua kesihatan awam NICD, Michelle Groome, berkata virus terbabit boleh merebak lebih pantas dalam tempoh pandemik di Gauteng iaitu sebuah wilayah dimana terletaknya Johannesburg dan Pretoria.

"Data awal mengesyorkan Omicron adalah lebih menular dan ada beberapa ciri menunjukkan ia boleh melawan vaksin," katanya.

Saintis di Afrika Selatan semalam melaporkan Omicron mempunyai tiga kali kadar kebolehjangkitan semula, berbanding Delta ataupun Beta.

Meskipun secara umumnya pesakit menunjukkan gejala lebih ringan, Groome memberi amaran permulaan penyakit serius mungkin dijangka dalam tempoh dua minggu akan datang.

Negara itu merekodkan 11,535 kes baharu semalam, kebanyakannya di pusat wabak Gauteng.

Angka itu adalah lima kali ganda kes yang dilaporkan pada minggu lalu apabila saintis di Afrika Selatan mengumumkan kepada dunia kemunculan varian baharu itu. - AFP

Berita Harian X