Jumaat, 26 November 2021 | 12:53pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Varian baharu COVID-19 dengan pelbagai mutasi dikesan

JOHANNESBURG: Sekumpulan saintis di Afrika Selatan semalam mengesan varian baharu COVID-19 dengan bilangan mutasi yang tinggi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes di negara itu.

Mereka menyifatkan, varian baharu itu mempunyai sekurang-kurangnya 10 mutasi berbanding varian Delta (dua mutasi) dan Beta (tiga mutasi).

Bilangan kes harian di negara paling teruk terjejas di Afrika itu kini dilaporkan meningkat sepuluh kali ganda sejak awal bulan ini.

Pakar Virologi, Tulio de Oliveira, berkata varian dikenali dengan nombor saintifik B.1.1.529, mempunyai bilangan mutasi yang sangat tinggi.

"Malangnya, kita mengesan varian baharu yang menjadi punca jangkitan membimbangkan di Afrika Selatan,"  katanya dalam sidang media tergempar.

Oliveira berkata, pihaknya berharap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menetapkan nama baharu dalam bahasa Yunani bagi varian baharu itu.

Katanya, varian itu kini dikesan di Botswana dan Hong Kong, membabitkan pengembara dari Afrika Selatan, sekali gus meningkatkan potensi penumpang lain yang berada bersamanya dalam pesawat mungkin dijangkiti.

Sehingga kini, menurut Institut Nasional Penyakit Berjangkit (NICD), 22 kes positif daripada varian B.1.1.529 direkodkan berdasarkan penjujukan genom.

Sementara itu, WHO berkata pihaknya memantau dengan teliti varian yang dilaporkan dan dijangka mengadakan mesyuarat teknikal hari ini untuk menentukan sama ada ia adalah varian mendapat perhatian (VOI) atau varian membimbangkan (VOC).

"Analisis awal menunjukkan varian ini mempunyai sejumlah besar mutasi yang memerlukan kajian lanjut," katanya.

Menteri Kesihatan Afrika Selatan, Joe Phaahla, berkata varian itu mewujudkan kebimbangan serius dan dikesan menjadi penyebab di sebalik peningkatan kes yang dilaporkan, sekali gus berupaya menjadi ancaman besar.

Katanya, jumlah jangkitan harian di negara itu mencecah kepada 1,200 kes pada Rabu lalu iaitu meningkat daripada 106 pada awal bulan.

Sementara itu, menurut NICD, bilangan dan peratusan kes positif meningkat dengan pantas di beberapa daerah termasuk Gauteng iaitu pusat ekonomi Johannesburg dan ibu kota Pretoria.

Katanya, kluster wabak baru-baru ini dikesan tertumpu di institut pendidikan tinggi di Pretoria.

Menurut Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika), John Nkengasong, pihaknya akan bertemu sekumpulan pakar tidak lama lagi untuk membincangkan mengenai varian itu.

"Terdapat begitu banyak varian di luar sana tetapi beberapa daripadanya tidak memberi kesan kepada perjalanan wabak itu," katanya.

Tahun lalu, Afrika Selatan mengesan varian Beta dan Delta, yang mula-mula di kesan di India.

Negara Afrika itu merekodkan bilangan kes paling tinggi iaitu sebanyak 2.95 juta jangkitan dengan 89, 657 kematian.

Sehingga kini, kempen vaksinasi Afrika Selatan dilihat berjalan perlahan dengan hanya kira-kira 41 peratus orang dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 35 peratus lagi lengkap divaksin. - AFP

Berita Harian X