Ahad, 21 November 2021 | 6:30pm
Penunjuk perasaan di Sudan meletakkan penghadang jalan di ibu negara, Khartoum, bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera. - Foto AFP
Penunjuk perasaan di Sudan meletakkan penghadang jalan di ibu negara, Khartoum, bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera. - Foto AFP

Rundingan damai mungkin berjaya akhiri rusuhan di Sudan

KHARTOUM: Kumpulan perunding mendakwa rundingan damai dicapai selepas tunjuk perasaan dan rusuhan menentang rampasan kuasa tentera sejak 25 Oktober lalu mengorbankan lebih 40 nyawa.

Difahamkan, ketua tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok, sudah mencapai persefahaman bagi mengembalikan negara itu kepada pentadbiran awam.

Perkara itu dimaklumkan kepada AFP oleh perunding kanan kumpulan terbabit, Fadlallah Burma, yang juga pemangku ketua parti politik Umma di Sudan.

"Perjanjian politik dicapai antara Jeneral Burhan, Abdalla Hamdok, parti politik dan pertubuhan sivil bagi membolehkan Hamdok kembali memegang jawatan dan membebaskan tahanan politik.

"Pentadbiran negara mengikut Perlembagaan, perundangan dan konsensus politik akan dikembalikan dalam proses peralihan sementara rumusan muktamad dapat dicapai," katanya.

Burhan, pada 25 Oktober lalu, mengisytiharkan darurat, menggulingkan kerajaan dan menahan pemimpin sivil, sekali gus mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran, yang kemudian bertukar menjadi rusuhan serta mengundang kecaman antarabangsa.

Ratusan penunjuk perasaan antirampasan kuasa Sudan masih berarak mengecam tindakan keras pasukan keselamatan yang didakwa mengakibatkan lebih 40 individu maut akibat pergolakan sejak tentera merampas kuasa.

Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Afrika (AU) turut menyelar tindakan pasukan keselamatan negara bergolak itu terhadap penunjuk perasaan dan menggesa Burhan tidak menggunakan 'kekerasan berlebihan'.

Pengerusi Suruhanjaya AU, Moussa Faki Mahamat, turut mengutuk penggunaan kekerasan bagi meleraikan perhimpunan.

Khamis lalu saja, pasukan keselamatan Sudan menembak mati sekurang-kurangnya 15 penunjuk perasaan antirampasan kuasa dan mencederakan puluhan lagi.

Bagaimanapun, hari ini pasukan perunding merangkumi ahli akademik, wartawan, dan ahli politik berjaya meleraikan kemelut dengan mencapai satu persefahaman antara pihak bertelagah.

Menurut kenyataan kumpulan perunding itu, perjanjian dicapai susulan persetujuan di antara parti politik, bekas kumpulan pemberontak dan tokoh tentera.

"Perjanjian itu akan diumumkan secara rasmi lewat hari ini, selepas pemeteraian syarat bersama dengan deklarasi politik ," katanya.

Perjanjian itu diumumkan sebelum protes besar-besaran yang dirancang susulan bantahan terhadap pengambilalihan tentera.

Ia adalah protes terbaru dirancang dalam siri perhimpunan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang terkorban, menurut pegawai perubatan.

Kes kematian tertinggi direkodkan pada Rabu lalu dengan membabitkan 16 individu yang menyertai protes berkenaan.

Semalam, pihak berkuasa Sudan memaklumkan, siasatan berhubung kes kematian itu akan dilaksanakan.

Sejak pengambilalihan tentera, Burhan menegaskan langkah itu 'bukan rampasan kuasa', tetapi tindakan bagi 'memperbetulkan peralihan' apabila perpecahan semakin serius antara orang awam dan tentera di bawah kerajaan yang kini digulingkan. - AFP

Berita Harian X