Rabu, 27 Oktober 2021 | 8:10am
Penunjuk perasaan turun ke jalanan di Khartoum susulan rampasan kuasa oleh tentera Sudan. - FOTO EPA
Penunjuk perasaan turun ke jalanan di Khartoum susulan rampasan kuasa oleh tentera Sudan. - FOTO EPA
(Gambar fail) Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok. - FOTO AFP
(Gambar fail) Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok. - FOTO AFP

Perdana Menteri Sudan dibebaskan

KHARTOUM: Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok yang ditahan dalam rampasan kuasa oleh tentera, telah dibawa pulang ke rumahnya, lewat malam tadi.

Pejabatnya ketika memaklumkan perkara itu berkata, Hamdok diletakkan 'bawah pengawasan rapi', manakala menteri serta pemimpin awam lain masih ditahan selepas tentera membubarkan institusi Sudan pada Isnin lalu.

Perkembangan itu menyusul setelah pelbagai pihak antarabangsa memberi tekanan hebat, dengan Amerika Syarikat (AS) menegaskan akan menggantung penyaluran bantuan berikutan rampasan kuasa terbabit, malah Kesatuan Eropah (EU) turut mengancam untuk mengambil tindakan sama.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pula mendesak agar Hamdok 'dibebaskan segera', menjelang mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan yang bermula jam 8 malam tadi.

Menurut seorang diplomat yang enggan dikenali, hasil perbincangan kuasa utama PBB boleh membawa kepada satu pernyataan bersama dikeluarkan nanti bagi mengutuk rampasan kuasa itu.

Sebelum mesyuarat itu, Timbalan Duta Russia ke PBB, Dmitry Polyanskiy, berkata Majlis Keselamatan 'patut merayu untuk menghentikan keganasan itu daripada semua pihak.'

Pergolakan ketika ini berlaku selepas hanya kira-kira dua tahun perkongsian kuasa diatur antara tentera bersama pemimpin awam susulan penggulingan autokrat, Omar al-Bashir, pada April 2019.

Terdahulu, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan memberi jaminan bahawa kesihatan Hamdok berada dalam 'keadaan baik'.

Sumber tentera yang enggan dikenali pula memaklumkan, Hamdok telah diiring pulang ke rumah, dengan 'langkah keselamatan' dilakukan 'di sekelilingnya'.

Sementara itu, rakyat yang berang berkumpul di jalanan sambil melaungkan bantahan terhadap pemerintahan tentera.

Sebuah kumpulan doktor pula mendakwa, empat individu ditembak mati oleh pasukan keselamatan dalam kemelut kali ini.

Dalam pada itu, saksi di daerah Burri mendakwa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan di sebuah jalan utama. - AFP

Berita Harian X