Khamis, 14 Oktober 2021 | 7:20am
- Hiasan. FOTO AFP
- Hiasan. FOTO AFP

10 maut ketika solat di masjid

NIAMEY: Seramai 10 orang maut dalam serangan dilakukan pejuang pemisah Islam di sebuah masjid dekat kampung Abankor di wilayah Tillaberi, Isnin lalu.

Pegawai di Banibangou berkata, penyerang yang menunggang motosikal melakukan serangan ketika penduduk mendirikan solat Maghrib.

Penduduk di pekan Tondiwindi mengesahkan serangan itu dan jumlah yang terkorban.

Sementara itu, stesen radio tempatan, Studio Kalangou melaporkan penduduk Abankor berkata, seorang penduduk cedera dan 10 orang maut dalam serangan itu.

Sejak awal tahun ini, serangan dilakukan pejuang pemisah meningkat di sekitar Banibangou dan bandar berhampiran dekat wilayah Tillaberi.

Kawasan terbabit sering menjadi sasaran serangan pejuang Negara Islam di Sahara dan Kumpulan Menyokong Islam dan Jemaah yang dikaitkan dengan Al-Qaeda.

Selain berdepan serangan kumpulan pemisah, wilayah terbabit mengalami masalah kekurangan bekalan makanan.

Awal tahun ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran yang wilayah Tillaberi berdepan krisis makanan terbesar dengan hampir 600,000 penduduk terdedah kepada kebuluran.

"Kebuluran dan serangan berterusan kumpulan pejuang pemisah yang menyasarkan petani dan orang awam sangat membimbangkan ketika bekalan makanan terganggu," kata pegawai penyelaras kemanusiaan PBB. - AFP

Berita Harian X