Isnin, 13 September 2021 | 1:27pm
Seorang tentera kanak-kanak di Niger. - Foto EPA
Seorang tentera kanak-kanak di Niger. - Foto EPA

Kanak-kanak dibunuh, direkrut militan meningkat - AI

ABIDJAN: Jumlah kanak-kanak yang dibunuh atau direkrut menjadi tentera oleh kumpulan bersenjata di sempadan Niger dengan Mali dan Burkina Faso semakin meningkat.

Menurut laporan Amnesty International (AI) yang diterbitkan hari ini penculikan membabitkan golongan itu semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Timbalan Pengarah Tindak Balas Krisis AI, Matt Wells, berkata satu generasi kanak-kanak di wilayah Tillaberi di Niger, membesar dengan dikelilingi kematian dan kemusnahan.

"Kumpulan bersenjata berulang kali menyerang sekolah dan tempat simpanan serta menyasarkan kanak-kanak untuk direkrut menjadi pejuang," katanya dalam satu kenyataan.

AI menuding jari kepada militan Daesh di Greater Sahara (ISGS) dan sekutu al-Qaeda, Jama'at Nusrat al-Islam wal-Muslimin (JNIM) sebagai punca kanak-kanak wilayah itu berdepan 'kesan yang memusnahkan'.

Kumpulan hak asasi itu menerbitkan laporan 57 muka surat yang mendokumenkan kesan konflik kepada kanak-kanak di barat Tillaberi.

Kawasan seluas 100,000 kilometer persegi di sempadan Mali dan Burkina Faso itu didiami pelbagai kumpulan etnik seperti Djerma, Fulani, Tuareg dan Hausa.

Menurut pertubuhan pengesan konflik ACLED, yang dipetik AI, keganasan terhadap orang awam menyebabkan 544 kematian dari Januari hingga 23 Julai tahun ini, berbanding 397 kematian sepanjang tahun lalu.

"Kumpulan bersenjata membunuh lebih 60 kanak-kanak di kawasan sempadan tiga penjuru Niger tahun ini," kata laporan itu.

Ia turut memaklumkan, ISGS yang kebiasaannya beroperasi di sempadan dengan Mali, dilihat bertanggungjawab terhadap kebanyakan pembunuhan berskala besar.

Ketika kajian bagi laporan itu, AI menemubual 16 kanak-kanak lelaki yang terselamat daripada serangan ISGS di kampung mereka.

Seorang kanak-kanak berusia 13 atau 14 tahun berkata: "Kami sudah biasa mendengar bunyi tembakan dan melihat mayat bertinding di atas mayat lain." - AFP

Berita Harian X