Rabu, 28 April 2021 | 8:49am
12 anggota tentera Chad dan 40 pengganas terbunuh dalam pertempuran terbaru di negara itu. - Foto AFP
12 anggota tentera Chad dan 40 pengganas terbunuh dalam pertempuran terbaru di negara itu. - Foto AFP

Pengganas bunuh 12 tentera di Chad

N'DJAMENA: Pertempuran antara tentera dan pengganas di wilayah Tasik Chad semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 12 tentera Chad terbunuh.

Gabenor Wilayah, Mahamat Fadoul Mackaye, memberitahu AFP bahawa sekitar 40 pengganas turut terbunuh dalam serangan terhadap pangkalan tentera di kawasan berpaya yang turut menjadi markas pengganas.

"Pasukan pertahanan bertindak balas secara agresif menentang musuh dan berjaya menembak mati 40 pengganas dan merampas senjata mereka, namun kami berkabung atas kematian 12 anggota tentera," katanya.

Kumpulan pengganas itu termasuk Boko Haram yang berpusat di Nigeria, selain kumpulan serpihan Islamic State West Africa Province (ISWAP).

Both Boko Haram dan ISWAP sering menyasarkan serangan terhadap pasukan tentera serta orang awam.

ISWAP berpisah daripada Boko Haram pada 2016 danmenjadi kumpulan berpengaruh, melancarkan serangan terhadap pangkalan tentera dan menyerang hendap anggota tentera selain menculik pengembara.

Pertempuran awal pagi semalam berlaku di antara pekan Ngouboua dan Kaiga, kira-kira 100 kilometer (km) ke utara ibu negara, N'Djamena, kata seorang pegawai kanan tentera yang enggan dikenali.

Jurucakap tentera Chad, Jeneral Azem Bermandoa Agouna, mengesahkan serangan itu tetapi enggan memberi butiran megenai mangsa ketika dihubungi AFP. - AFP

Berita Harian X