Isnin, 10 Ogos 2020 | 8:49am
Kenderaan yang dinaiki enam rakyat Perancis dibunuh lelaki bersenjata di sebuah kawasan tumpuan pelancong di barat daya Niger. - Foto AFP
Kenderaan yang dinaiki enam rakyat Perancis dibunuh lelaki bersenjata di sebuah kawasan tumpuan pelancong di barat daya Niger. - Foto AFP

Lelaki bersenjata tembak 6 rakyat Perancis

KOURE (Niger): Lapan termasuk pekerja badan bukan kerajaan (NGO) dari Perancis, maut ditembak lelaki bersenjata bermotosikal semalam, di sebuah kawasan yang menjadi habitat terakhir zirafah Afrika Barat di barat daya Niger.

Menurut pejabat Gabenor Wilayah Tillaberi, mangsa yang terbunuh membabitkan enam warga Perancis manakala dua lagi rakyat Nigeria, termasuk pemandu pelancong.

Peguam Kumpulan NGO Kemanusiaan ACTED, Joseph Breham mengesahkan mangsa yang terkorban dalam serangan itu adalah kakitangannya yang sedang melancong.

Difahamkan, serangan adalah kali pertama berlaku terhadap pelancong Barat di kawasan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana keistimewaan zirafah Afrika Barat bagi negara bekas jajahan Perancis.

"Kita sedang mengurus situasi dan akan memberi lebih banyak maklumat kemudian," kata Gabenor Wilayah Tillaberi, Tidjani Ibrahim Katiella tanpa memaklumkan siapa dalang serangan itu.

Bagaimanapun, sumber kepada perkhidmatan alam sekitar Niger berkata, serangan bermula kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan, enam kilometer dari bandar Koure, iaitu kira-kira sejam perjalanan dari ibu kota Niamey.

"Kebanyakan mangsa ditembak dan kita menemui katrij kelongsong peluru di tempat kejadian.

"Kita tidak tahu identiti penyerang tetapi mereka datang dengan motosikal dari belukar dan seperti menunggu ketibaan kumpulan berkenaan dan kenderaan mangsa dimiliki oleh ACTED," menurut sumber kepada AFP.

Sumber itu turut menerangkan kejadian serangan dengan mayat mangsa diletakkan bersebelahan antara satu sama lain.

Kenderaan yang mereka naiki kemudian dibakar dan kelihatan lubang peluru di tingkap belakang. - AFP

Berita Harian X