Khamis, 11 April 2019 | 10:48pm
RAKYAT Sudan meraikan kejayaan tentera menggulingkan Presidennya, Omar al-Bashir. - Foto AFP
RAKYAT Sudan meraikan kejayaan tentera menggulingkan Presidennya, Omar al-Bashir. - Foto AFP

Mesir suarakan sokongan terhadap rakyat, tentera Sudan

KAHERAH: Mesir melahirkan ‘sokongan sepenuhnya’ kepada rakyat dan tentera Sudan dalam peralihan politik susulan penggulingan Presidennya, Omar al-Bashir.

Kaherah menyuarakan kepercayaan penuh terhadap ‘kemampuan rakyat Sudan dan kesetiaan tentera bagi menyelesaikan cabaran pada tahap kritikal ini...untuk mencapai kestabilan, kemakmuran dan pembangunan,” kata kenyataan Kementerian Luar Mesir.

Kementerian itu menegaskan bahawa Mesir menghormati kedaulatan Sudan dan keputusan rakyatnya.

Omar al-Bashir. - Foto AFP
Omar al-Bashir. - Foto AFP

Sementara itu, Russia hari ini menyeru Sudan bertenang dan menyuarakan harapan bahawa hubungan rapat kedua-dua pihak tidak terjejas, tanpa mengira siapa yang berkuasa.

Sebelum ini, rakyat Sudan menuntut peletakan jawatan Presiden Omar al-Bashir dalam perhimpunan besar-besaran di tengah bandar raya Khartoum sebagai tentera menjanjikan ‘pengumuman penting’ selepas protes yang berlangsung selama berbulan-bulan.

“Kami memantau situasi dengan berhati-hati,” kata Dmitry Peskov, jurucakap kepada Presiden Russia, Vladimir Putin kepada wartawan. - AFP

Berita Harian X