Isnin, 16 Julai 2018 | 2:22pm

5 terbunuh lombong terbakar di Afrika Selatan

JOHANNESBURG: Sekurang-kurangnya lima pelombong di Afrika Selatan terbunuh dalam kebakaran bawah tanah semalam memaksa penyelamat meneruskan operasi mengeluarkan satu-satunya mangsa yang dipercayai terselamat, kata kerajaan.

Difahamkan ketika kejadian tali sawat penghantar di lombong yang dikendalikan Palabora Copper di wilayah timur laut Limpopo terbakar, memerangkap enam pekerja bawah tanah, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

"Setakat ini, lima pekerja disahkan mati di Palabora Mining. Pencarian seorang lagi pekerja diteruskan," kata Jabatan Sumber Mineral Afrika Selatan di akaun Twitternya.

"Siasatan akan bermula sebaik pekerja terakhir ditemui, api dipadamkan sepenuhnya dan kawasan itu diisytiharkan selamat."

Dalam kenyataannya, Palabora Copper berkata pengurusan lombong, pegawai dari Jabatan Sumber Mineral dan persatuan buruh kini berada di lombong untuk menyiasat punca kejadian.

Bulan lalu, empat pelombong terbunuh dalam satu kejadian di sebuah lombong emas yang dikendalikan Sibanye Stillwater. - AFP

Berita Harian X