Khamis, 4 April 2024 | 2:32pm
Acryl Sani (tengah) mendengar penerangan mengenai perkhidmatan disediakan oleh Bateriku semasa mengadakan lawatan ke syarikat itu di Shah Alam hari ini - NSTP/Nur Amira Mohd Hedzer
Acryl Sani (tengah) mendengar penerangan mengenai perkhidmatan disediakan oleh Bateriku semasa mengadakan lawatan ke syarikat itu di Shah Alam hari ini - NSTP/Nur Amira Mohd Hedzer

Bateriku bantu lebih 1.5 juta pemilik kereta di seluruh negara

SHAH ALAM: Bateriku (M) Sdn Bhd telah memberikan perkhidmatan kepada lebih 1.5 juta pelanggan dengan menawarkan penggantian bateri dan penyelesaian bantuan tepi jalan secara terhubung.

Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi, berkata ia sejajar dengan hasrat syarikat itu untuk mendigitalkan pasaran bateri, bantuan tepi jalan dan bengkel melalui teknologi serta perkongsian ekonomi.

Matlamat ini, katanya adalah untuk memberikan pengalaman kepada pelanggan melalui penyelesaian bantuan tepi jalan terhubung kepada pemilik kereta di seluruh Malaysia.

"Selain itu, perkhidmatan penggantian tayar, tambah nilai bahan api dan perkhidmatan menunda juga disediakan dengan hampir 20 juta dikongsi dengan ekosistemnya.

"Syarikat ini beroperasi di semua wilayah ekonomi utama Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang dikendalikan oleh 303 pekerja, melatih lebih 1,000 juruteknik gig (BHero) dan membangunkan hampir 100 usahawan (BPreneur) serta menyertai lebih daripada 3,000 bengkel kereta dan peniaga alat ganti kereta (BBuddy)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ke syarikat itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, PUNB sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada usahawan termasuk dalam sektor automotif.

"Untuk automotif, PUNB telah memberikan bantuan kepada lebih 1,120 individu yang terbabit dalam sektor ini sejak 2002. Statistik kami mendapati bahawa usahawan Bumiputera dalam bidang ini semakin ramai.

"Ini mungkin ekoran daripada kejayaan dasar kerajaan dalam membangunkan latihan berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menyebabkan lebih ramai Bumiputera yang dilihat berminat memajukan diri mereka dalam sektor automotif," katanya.

Beliau berkata, PUNB bersama dengan usahawan yang berminat akan menganjurkan bengkel latihan bagi meningkatkan kemahiran dan menambah ilmu dalam sektor automotif.

"PUNB juga menganjurkan lawatan membawa usahawan ini ke luar negarabukan sahaja untuk mencari pengalaman, tetapi menambahkan rangkaian rakan niaga mereka di samping meneroka peluang terkini dan teknologi baharu.

"Pada akhir bulan ini, PUNB juga akan mengadakan lawatan ke Korea Selatan yang akan disertai hampir 100 orang usahawan daripada sektor automotif seluruh negara. Mereka akan didedahkan dengan pelbagai bidang berkaitan automotif yang bukan sahaja akan memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran, tetapi mengukuhkan kerjasama ke luar negara dan pasaran tempatan," katanya.

Acryl Sani berkata, pembiayaan yang disediakan oleh PUNB adalah antara RM100,000 hingga RM5 juta, namun terdapat kes tertentu pembiayaan diberikan sehingga RM10 juta bergantung kepada keupayaan dan daya saing.

Berita Harian X