Rabu, 6 March 2024 | 3:29pm
Gambar fail. Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr Aria Putera Ismail. - NSTP/GENES GULITAH
Gambar fail. Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr Aria Putera Ismail. - NSTP/GENES GULITAH

SME Bank teruskan agenda perkasa PMKS Bumiputera

KUALA LUMPUR: SME Bank, peneraju institusi kewangan pembangunan (DFI) meneruskan agendanya dalam memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya usahawan Bumiputera.

Ini melalui peranannya sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi dan pertumbuhan PMKS.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, bank telah melaksanakan rangkaian inisiatif komprehensif yang disesuaikan untuk memenuhi pelbagai keperluan usahawan Bumiputera.

Beliau berkata, SME Bank secara konsisten menyelaras inisiatifnya dengan agenda kerajaan untuk memperkasakan usahawan Bumiputera, selaras dengan objektif menyeluruh transformasi ekonomi Bumiputera yang digariskan dalam Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera.

Sejak penubuhan katanya, SME Bank telah memberi lebih daripada RM 30.6 bilion pembiayaan kepada sejumlah 17,380 PMKS Bumiputera, merangkumi program Bumiputera dan pelbagai kemudahan pembiayaan lain.

"Salah satu program tersebut adalah program i-SMART (Skim Anjakan Usahawan), inisiatif RM180 juta yang tertumpu untuk mewujudkan juara Bumiputera.

"Program ini memberi tumpuan kepada mempercepatkan pertumbuhan dan prestasi PMKS, mendorong mereka ke arah daya saing global dan menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan sosial masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Aria berkata, SME Bank menerajui dalam memupuk kemajuan berorientasikan eksport dengan Program Eksport Perniagaan (BEP), satu inisiatif intervensi yang direka dengan teliti yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama MATRADE.

Beliau berkata, disokong oleh dana khusus sebanyak RM30 juta, BEP dirangka secara strategik untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat untuk eksport antarabangsa.

Ia katanya ditambah dengan Pembiayaan Jaguh Serantau sebanyak RM500 juta bagi menyokong usaha eksport Bumiputera.

Malah sebagai tambahan katanya, SME Bank memperuntukkan RM 10.5 juta melalui Program Pembangunan Kapasiti & Keupayaan Vendor (PPKV) untuk memberi sokongan kepada vendor Bumiputera dalam meningkatkan daya saing, kemampanan dan daya tahan mereka.

"Di dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk Dana Kemampanan PMKS Bumiputera bagi memberi sokongan tambahan kepada usahawan Bumiputera.

"Inisiatif ini bertujuan untuk mengangkat martabat PMKS Bumiputera dengan mengintegrasikan pembiayaan dan pembiayaan.

"Melalui peruntukan ini, usahawan Bumiputera diperkasakan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan meningkatkan daya saing di pasaran luar," katanya.

Berita Harian X