Selasa, 5 March 2024 | 6:18pm
Ketua Perbankan Perniagaan AmBank Islamic, Mohammad Sabirin A Rahman (tengah) bersama Pengarah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) (kanan)  Zuhairi Mohmad, menyampaikan sumbangan modal perniagaan kepada usahawan mikro NCER di Bertam, Kepala Batas. NSTP/ Ihsan NCIA
Ketua Perbankan Perniagaan AmBank Islamic, Mohammad Sabirin A Rahman (tengah) bersama Pengarah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) (kanan)  Zuhairi Mohmad, menyampaikan sumbangan modal perniagaan kepada usahawan mikro NCER di Bertam, Kepala Batas. NSTP/ Ihsan NCIA

Program iTEKAD bantu usahawan PMKS NCER

KEPALA BATAS: Seramai 50 usahawan naungan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menerima modal permulaan perniagaan RM200,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh AmBank Islamic melalui program iTEKAD.

Program iTEKAD diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), sejajar dengan matlamat Belanjawan 2024 yang bertujuan membantu usahawan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) terdiri daripada golongan asnaf dan B40 menjana pendapatan mampan dan disokong oleh institusi kewangan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan, berkata pesertanya dibawah program empowerNCER tidak terkecuali menerima manfaat itu.

"Program empowerNCER (dibawah NCIA) memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran menerusi bimbingan dan latihan keusahawanan yang komprehensif secara percuma.

"Oleh itu, peruntukan iTEKAD oleh AmBank Islamic dilihat akan melengkapi program ini dengan menawarkan suntikan modal yang penting untuk sesebuah perniagaan khususnya perusahaan mikro (PMKS).

"Saya yakin dengan tawaran pembiayaan modal iTEKAD daripada AmBank Islamic akan membantu usahawan NCER melangkah lebih jauh dalam mengembangkan perniagaan termasuk memanfaatkan teknologi digital dan strategi pemasaran, selain mereka juga akan dibekalkan dengan kit permulaan perniagaan oleh NCER," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, majlis penyampaian modal permulaan perniagaan itu disempurnakan oleh Ketua Perbankan Perniagaan AmBank Islamic, Mohammad Sabirin A Rahman bersama Pengarah NCIA Zuhairi Mohmad dalam satu majlis yang diadakan di Bertam, di sini, hari ini.

Jelasnya, pembangunan PMKS sentiasa menjadi keutamaan di NCER menerusi pelaksanaan program pembangunan bakat dan telah membantu melahirkan lebih 81,000 usahawan di wilayah utara sejak 2019.

"Program berkenaan juga bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara bandar dengan luar bandar, memastikan tiada golongan yang tercicir daripada aruspembangunan dan mewujudkan ekosistem ekonomi setempat yang kukuh bagi menarik kehadiran pelabur ke NCER," katanya.

Berita Harian X