Selasa, 27 Februari 2024 | 10:44am
Pengarah Solace Dannial Razali bersama sebuah mesin AWG lengkap dengan 'water dispenser' yang pernah diuji penggunaannya di pelantar minyak.
Pengarah Solace Dannial Razali bersama sebuah mesin AWG lengkap dengan 'water dispenser' yang pernah diuji penggunaannya di pelantar minyak.

Solace sasar tembusi pasaran dengan 'air berkualiti daripada udara'

KUALA LUMPUR: Solace Synergy Sdn Bhd (Solace), peneraju teknologi mesin penghasilan air daripada udara akan memperkenalkan produk terbarunya di pasaran tempatan bermula bulan depan iaitu air minuman beralkali berjenama Embun.

Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2019 itu pernah terkesan operasinya akibat pandemik Covid-19 namun ia berjaya bangkit menggiatkan lagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan komitmen pelaburan sebanyak RM1.5 juta bagi projek berkenaan.

Kejayaan itu membolehkan Solace mengeluarkan air minuman beralkali yang bakal dipasarkan melalui wakil pengedar tunggal, Daain Synergy Sdn Bhd di bawah rangkaian produk mereka iaitu Nature Made.

Pengarah Solace, Dannial Razali berkata, beliau menjelaskan air jenama Embun itu mempunyai keistimewaan kerana terdapat kandungan alkali pada tahap sembilan dan tahap ketulenan yang tinggi berbanding sumber air yang lain sekaligus membezakannya dengan air mineral biasa.

"Sasaran utama produk ini adalah golongan yang mahu menjaga dan mementingkan kesihatan termasuk orang muda yang aktif bersukan.

"Kajian perubatan menunjukkan bahawa pengambilan air berpH tinggi seperti ini dapat membantu melancarkan aliran darah, terutamanya selepas aktiviti fizikal yang lasak di mana Embun bukan sahaja dapat menghilangkan dahaga tetapi juga memberikan manfaat kesihatan yang signifikan," katanya dalam satu kenyataan.

Dannial berkata, air alkali ini tidak hanya membantu melawan penyakit osteoporosis dan menstabilkan tekanan darah, tetapi juga dapat melegakan masalah usus dan perut dengan meneutralkan asid refluks.

Katanya, Solace akan mengeluarkan sekitar 62,000 pek air sebulan, sebelum ditingkatkan mengikut permintaan dengan menyasarkan untuk menguasai lima peratus pasaran tempatan dengan produk jenama Embun.

"Solace juga menggunakan teknologi yang sama untuk menghasilkan air yang biasanya digunakan dalam proses rawatan dialisis di Malaysia dalam masa terdekat kerana merasakan potensinya sangat besar.

"Penghasilan air daripada udara ini dilakukan menggunakan mesin 'Atmospheric Water Generator' (AWG) yang dibangunkan oleh warga tempatan dengan kerjasama daripada Prof Madya Dr Ammar Zakaria, antara saintis tempatan terkemuka dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

"Dengan mesin teknologi ini, kami boleh mengubah udara yang berada di sekeliling kita kepada air minuman yang tinggi piawaiannya benar-benar tulen dan bersih di mana kami meniru proses yang berlaku secara semula jadi seperti mana terhasilnya air embun di waktu pagi, dan menjadikannya beralkali untuk memberikan lebih manfaat kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata, AWG mematuhi dan melepasi piawaian kualiti pihak berkuasa dan mempunyai sijil pengiktirafan dari SIRIM dan pihak berkuasa nuklear tempatan bagi menjamin kualiti dan keselamatan air yang dihasilkan.

"Penggunaan mesin kami telah diuji di pelantar minyak di tengah-tengah lautan dan terbukti mampu berfungsi dengan baik dan boleh dipercayai kemampuannya serta ia mudah disambungkan kepada bekalan elektrik, menjadikannya sesuai untuk kawasan yang berdepan dengan masalah bekalan air atau dalam situasi kecemasan di pusat-pusat pemindahan ketika berlaku banjir," katanya.

Berita Harian X