Jumaat, 23 Februari 2024 | 2:17pm
Gambar fail. Ibu pejabat SME Bank.
Gambar fail. Ibu pejabat SME Bank.

Gulfood Dubai peluang PKS teroka pasaran Asia Barat

SME Bank, peneraju institusi kewangan pembangunan (DFI) di Malaysia telah membimbing 11 buah Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk meneroka peluang eksport di Gulfood Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu ini.

Ia diiktiraf sebagai salah satu pameran perdagangan makanan dan minuman (F&B) tahunan terbesar di dunia, Gulfood yang menyediakan platform strategik bagi usahawan Malaysia untuk mempamerkan produk mereka di pentas global.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Aria Putera Ismail berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat membawa usahawan tempatan ke Gulfood sekali lagi.

"Mereka adalah peserta Program Eksport Perniagaan (BEP) dan Program 'Market Access Incentive' (MASSIVE) yang merupakan program di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

"Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut SME Bank membawa peserta di bawah program ini ke Gulfood, yang telah memperluaskan peluang perniagaan untuk usahawan Malaysia, khususnya dalam sektor halal di pasaran antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Aria berkata, peserta Gulfood 2023 berjaya menjana jualan bernilai RM6.35 juta dan menjangkakan jumlah ini akan bertambah pada tahun akan datang.

Acara yang berlangsung selama seminggu itu menyaksikan beberapa peristiwa penting berlangsung, termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tishas Food Manufacturing Sdn Bhd dengan Happymarket Trading Co. Pte. Ltd Maldives, serta antara Syilis Food Manufacturing Sdn Bhd dengan Imperia Asia F&B Trading Co. LLC.

Beliau berkata, dua entiti yang berdaftar di Malaysia ini merupakan pelanggan sedia ada SME Bank, di mana Syillis Food Manufacturing Sdn Bhd bersama dua syarikat lain yang mengambil bahagian iaitu Syed Food Industries Sdn Bhd dan Skinny Bakers Group Sdn Bhd, telah melancarkan produk baharu masing-masing iaitu Minyak Cili, Kuih Kacang berperisa Durian Musang King, Nasi Ayam Mandy dan Biskut Kuih Bakar.

"Pengenalan produk Malaysia yang inovatif ini mencerminkan kepintaran dan kepakaran dinamik PKS kita dalam menggabungkan tradisi dan inovasi untuk pasaran global.

"Sebagai sebuah agensi KUSKOP dan pemain utama pertumbuhan PKS, SME Bank akan terus menyokong PKS secara holistik bukan sahaja melalui program pembangunan kapasiti dan bantuan kewangan, tetapi juga dengan menyediakan platform optimum untuk meningkatkan pengiktirafan jenama mereka, memupuk rangkaian perniagaan dengan peneraju industri, dan menjalin perkongsian perdagangan yang berharga dengan pembeli, pengimport dan bakal pelabur," katanya.

Tambahnya, SME Bank telah berjaya membimbing 62 buah syarikat sejak program BEP dimulakan pada tahun 2020.

Walaupun menghadapi cabaran pandemik COVID-19 pada masa itu, peserta program BEP telah berjaya menjana jualan eksport RM150.48 juta, sekaligus mempamerkan dedikasi SME Bank sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi melalui perdagangan antarabangsa.

Berita Harian X