Khamis, 22 Februari 2024 | 3:01pm
Ewon (dua dari kiri) diiringi Ramanan (kanan) dan Hazimah Zainuddin (dua dari kanan) melihat kafe 1901 Frankfurter ketika majlis pelancaran semula Gloria Jean’s Coffee dan 1901 Frankfurter di Kuala Lumpur hari ini - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Ewon (dua dari kiri) diiringi Ramanan (kanan) dan Hazimah Zainuddin (dua dari kanan) melihat kafe 1901 Frankfurter ketika majlis pelancaran semula Gloria Jean’s Coffee dan 1901 Frankfurter di Kuala Lumpur hari ini - NSTP/Hairul Anuar Rahim

RM62 juta tambah cawangan Gloria Jean's Coffee, 1901 Frankfurter

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) dan syarikat milik penuh Pernas, Malaysia International Franchise Sdn Bhd akan melabur RM62 juta bagi pengembangan Gloria Jean's Coffee dan 1901 Frankfurter.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata usaha itu bagi menambah 50 cawangan Gloria Jean's Coffee dan 10buah cawangan 1901 Frankfurter pada tahun ini sehingga 2029.

Beliau berkata unjuran pulangan jualan (masing-masing) sebanyak RM1.8 juta setahun bagi Gloria Jean's Coffee dan RM600,000 setahun untuk 1901 Frankfurter dijangka mewujudkan sehingga 900 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

"Ini sekali gus membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan potensi keusahawanan di Malaysia dengan nilai sasaran jualan francais sebanyak RM100 bilion menjelang 2030.

"Saya berharap ini menjadi titik tolak penting dalam mencetuskan minat masyarakat terhadap keusahawanan francais, sekali gus menyumbang ke arah pencapaian aspirasi Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan dan ekonomi negara," katanya ketika melancarkan premis 'flagship' 1901 Frankfurter dan Gloria Jean's Coffee di Menara Pernas disini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri, Datuk R Ramanan dan Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin.

Mengulas selanjutnya, Ewon juga menyifatkan langkah itu dapat memastikan ekosistem keusahawanan francais negara ini terus berkembang secara teratur, selaras dengan Dasar Francais Negara 2030 yang sedang dimuktamadkan.

Dasar itu juga sejajar dengan Kerangka Ekonomi MADANI khususnya dalam industri francais negara.

Malah, katanya, Jemaah Menteri turut bersetuju meletakkan pemusatan tadbir urus dan kawal selia industri berkenaan menerusi Akta Francais 1998 di bawah Kuskop bagi menjadikan ekosistem keusahawanan yang lebih holistik.

-BERNAMA

Berita Harian X