Selasa, 20 Februari 2024 | 2:18pm
Ramanan (tengah) ketika mengadakan lawatan ke PERNAS hari ini -NSTP/Nur Raihana Alia
Ramanan (tengah) ketika mengadakan lawatan ke PERNAS hari ini -NSTP/Nur Raihana Alia

PERNAS mahu lahirkan 5,000 usahawan francais dalam lima tahun

KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meletakkan sasaran melahirkan 5,000 usahawan francais dalam tempoh lima tahun bermula 2021 sehingga 2025.

Ia komitmen KUSKOP untuk memperkasakan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke arah perniagaan francais.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, berkata PERNAS juga berpotensi mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dengan sasaran dana pemegang saham sebanyak RM1.473 bilion serta keuntungan sebanyak RM66 juta menjelang 2025.

"PERNAS memainkan peranan untuk memperkasakan usahawan PMKS ke arah perniagaan francais melalui pelbagai program di bawahnya.

"Agensi itu juga akan membantu usahawan kecil atau peniaga tepi jalan untuk berkembang ke arah yang lebih besar dan berupaya untuk menjadi francaisor,' katanya selepas mengadakan lawatan ke PERNAS di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PERNAS, Datuk Hazimah Zainuddin.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, PERNAS menyalurkan pembiayaan francais sebanyak RM441 juta dengan mewujudkan 5,590 usahawan sejak 2000.

Beliau berkata, ia bukan saja membantu ekonomi negara tetapi berjaya mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan.

"Dalam tempoh itu juga PERNAS merekodkan jumlah pelaburan sebanyak RM709 juta," katanya.

Sementara itu, Hazimah berkata, 90 peratus usahawan yang bernaung di bawah PERNAS adalah membabitkan PMKS.

Beliau berkata, usahawan PMKS akan dibimbing dengan pelbagai program pemerkasaan dan juga pembiayaan. bagi memastikan mereka bukan saja mendapat sokongan pembiayaan tetapi mampu untuk memperoleh ilmu keusahawanan yang lengkap.

"PERNAS akan terus mengukuhkan lagi program bagi membolehkan lebih banyak usahawan dapat dibantu tahun ini," katanya.

Berita Harian X