Selasa, 20 Februari 2024 | 1:18pm
Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN).
Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN).

INSKEN sasar latih 7,967 usahawan sepanjang tahun ini

KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) menyasarkan untuk 7,967 usahawan melalui 233 program latihan dan bimbingan serta penambahan program baharu berkaitan pemfailan cukai pada 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin, berkata melihat kepada laporan pencapaian tahun 2023, INSKEN berjaya mencapai sasaran namun usaha ini akan diteruskan pada tahun ini.

"Bagi tahun 2024, kami meningkatkan sasaran peningkatan hasil sebanyak 25 peratus berbanding tahun 2023 iaitu sebanyak 20 peratus.

"Sasaran INSKEN pada 2024 adalah mengukuhkan kesinambungan latihan peringkat awal, memperkukuh latihan pembangunan produk, menjalankan kesinambungan program berasaskan industri, memantapkan pengurusan tunai dan pembangunan produk dan servis dalam kalangan usahawan mikro dan informal, dan program bimbingan keuntungan menu bagi perkhidmatan makanan dan minuman (F&B)," katanya pada taklimat media mengenai pencapaian INSKEN secara maya, hari ini.

Pada 2023, INSKEN berjaya melatih 9,861 usahawan melalui 280 program latihan dan bimbingan, melebihi daripada sasaran awal iaitu 6,940 usahawan dan 220 program.

Pemerkasaan usahawan mikro dapat dinilai melalui kejayaan 20 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dengan hasil jualan keseluruhan melonjak kepada RM12.89 juta melalui 20 program yang dijalankan pada 2023.

Manakala, empat Program Bimbingan Keuntungan Menu mencatatkan peningkatan hasil jualan sebanyak RM13.3 juta dan 33 usahawan bertukar status perniagaan daripada usahawan mikro kepada usahawan kecil.

Pencapaian itu membuktikan INSKEN terus cemerlang memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui pemerkasaan usahawan mikro dan informal dengan melaksanakan program latihan dan bimbingan.

Program latihan kursus jangka masa pendek itu mengambil masa selama dua hingga tiga hari, manakala program bimbingan merupakan kursus berpaksikan keberhasilan dijalankan selama empat hingga enam bulan.

Muhd Firdaus berkata, institut itu tekad berusaha untuk terus membantu usahawan mikro dan informal memajukan perniagaan selain menegaskan bahawa usahawan daripada golongan ini seharusnya diberikan perhatian dan tumpuan lebih kerana mereka sering kali ketinggalan.

Beliau berkata, INSKEN juga akan meneruskan kesinambungan latihan peringkat awal di mana melalui dapatan mereka, program yang dijalankan secara keseluruhannya masih terdapat kekurangan dari segi memberikan ilmu asas kepada usahawan informal dan mikro.

Katanya, selain program bimbingan, sebanyak 239 program latihan INSKEN telah dianjurkan pada tahun lalu dan 9,170 usahawan dilatih dari aspek jualan dan pemasaran, kewangan, operasi serta pengurusan perniagaan.

"INSKEN telah mengadaptasi pendekatan Tracer Study, iaitu kaedah bagi mengukur hasil latihan selepas 30 hari dianjurkan mengikut beberapa petunjuk seperti penggunaan pengetahuan dan teknik yang diperolehi dalam aktiviti perniagaan selain impak pendapatan dan kecekapan.

"Program perundingan percuma seperti BizClinic juga dijalankan bagi memberi manfaat kepada 1,587 usahawan melalui 49 sesi yang dijalankan di mana INSKEN akan menghulurkan bantuan menerusi program latihan, bimbingan serta konsultasi percuma kepada semua kategori usahawankhususnya informal dan mikro," katanya.

Berita Harian X