Khamis, 15 Februari 2024 | 3:22pm
Acryl (depan, tiga dari kiri) pada Majlis Apresiasi JumPER 2023 di Putrajaya hari ini - Foto BERNAMA
Acryl (depan, tiga dari kiri) pada Majlis Apresiasi JumPER 2023 di Putrajaya hari ini - Foto BERNAMA

PUNB sedia RM5 juta sasar 300 peserta JumPER

PUTRAJAYA: Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB) menyasarkan 300 peserta Jom Jadi Perantis (JumPER) dengan peruntukan berjumlah RM5 juta pada tahun ini.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pemberian geran pembangunan perniagaan itu turut menyasarkan pelajar lepasan universiti dengan RM15,000 setiap seorang berbentuk geran.

Menurutnya, pada tahun ini PUNB membuka lebih banyak penyertaan berbanding 78 peserta pada 2023 membabitkan kelulusan sebanyak RM1.05 juta.

Katanya, PUNB juga akan menambah baik program JumPER bagi memastikan ia terus relevan untuk golongan belia yang mahu menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya.

"PUNB sentiasa menggalakkan idea-idea baharu terutamanya dalam sektor perniagaan yang kurang diceburi tetapi berpotensi untuk dikembangkan dan dimajukan," katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi JumPER 2023 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Lembaga Pengarah PUNB, Datuk Abd Shukor Mahmood.

Sejak 2009 sehingga 2023 seramai 4,256 peserta telah menyertai JumPER dengan jumlah peruntukan sebanyak 20.9 juta.

Program ini diperkenalkan bertujuan menggalakkan golongan belia siswazah menceburi bidang perniagaan dengan memperkenalkan konsep latihan perantisan bersama mentor dan peserta yang terpilih akan mengikuti latihan sehingga lapan bulan bersama pihak industri.

Sejak 2009 sehingga Disember 2023, seramai 4,256 peserta telah terpilih untuk mengikuti program JumPER dan 391 kelulusan pembiayaan perniagaan diluluskan membabitkan RM20.9 juta.

Acryl berkata, PUNB memperuntukkan RM3.68 juta tahun lalu bagi menjayakan tiga program di bawah inisiatif pembangunan usahawan muda dengan memperkenalkan Geran Pembangunan Perniagaan Alumni JumPER, Program Latihan Pendigitalan Perniagaan-JumPER GREAT (Graduate Entrepreneurship Training) dan PUNB-Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Unichallenge 2023.

Menurutnya, JumPER Great merupakan program yang memfokuskan kepada usaha memperkenalkan keusahawanan digital sebagai salah satu cabang kebolehpasaran bagi graduan yang ingin menceburi bidang

perniagaan dan melengkapkan graduan dengan ilmu asas serta teknikal perniagaan dalam talian yang komprehensif.

Katanya, ramai usahawan muda yang berjaya dengan menggunakan platform digital sebagai medium utama

menjalankan perniagaan seperti usahawan Khairul Aming meraih keuntungan RM1.2 juta kurang daripada empat minit dengan menjual produk Dendeng Nyet Berapi melalui platform digital.

"Justeru, PUNB melihat penggunaan digital bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya suatu kemestian yang perlu diadaptasikan dalam lanskap perniagaan masa kini," katanya.

Berita Harian X