Khamis, 1 Februari 2024 | 2:41pm
Amirudin berucap pada Malam Anugerah Usahawan PKNS di Shah Alam -NSTP/Faiz Anuar
Amirudin berucap pada Malam Anugerah Usahawan PKNS di Shah Alam -NSTP/Faiz Anuar

MB Selangor saran usahawan berkembang ke Asia Tenggara

SHAH ALAM: Usahawan tempatan disarankan untuk meneroka dan memperluaskan perniagaan sehingga ke pasaran Asia Tenggara yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata ini susulan jumlah penduduk yang besar di rantau ini, iaitu kira-kira 600 juta, dan terdapat potensi untuk sesuatu perniagaan semakin berkembang berikutan pertumbuhan dan permintaan daripada industri di kawasan itu.

"Kepada usahawan sekalian, kita tidak boleh mengehadkan fikiran kita (berniaga) dalam kitaran persekitaran kita sahaja. Kita harus berani melihat keadaan untuk bersaing di peringkat rantau dan global. Di Asia Tenggara, kita mempunyai 600 juta (penduduk) dengan Indonesia melebih 200 juta penduduk.

"Ada usahawan yang ingin kembangkan perniagaan mereka ke benua lain, kembangkan ke Amerika Syarikat (AS), India, sedangkan di ASEAN kita ada 600 juta (penduduk) sudah cukup, malahan mempunyai pasaran yang tersendiri.

"Kita lebih ingin berniaga di tempat lain berbanding rantau kita yang mempunyai pertumbuhan dan permintaan daripada industri bernilai tinggi," katanya dalam ucapan perasmian Malam Anugerah Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas.

Amirudin berkata, PKNS juga mempunyai produk dan jaringan program pembangunan usahawan yang tersusun, daripada program berbentuk latihan dan didikan mentor dan menti, sehinggalah kepada program yang menimbulkan minat untuk berniaga kepada pelajar sekolah.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Keusahawanan PKNS, Azilah Arasad@ Arshad, berkata menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), sebanyak 35 program utama keusahawanan telah dilaksanakan setakat ini.

Beliau berkata, pada tahun lalu, nilai ekonomi yang telah dicapai oleh usahawan menerusi bimbingan mereka dalam program berkenaan adalah melebihi RM202 juta.

Melalui Expo Usahawan Selangor (SELBIZ) yang dianjurkan tahun lalu, hampir 200 usahawan menyertai program itu dengan jumlah transaksi jualan bernilai RM2.27 juta dan jumlah pengunjung sebanyak 44,658 orang, katanya.

Sempena ulang tahun PKNS yang ke-60 tahun ini, PKNS menerusi BPU mengadakan Malam Anugerah Usahawan PKNS bagi mengiktiraf usahawan yang dibimbing dengan penyampaian 12 anugerah malam tadi.

Selain mengiktiraf usahawan, PKNS turut memberi penghargaan kepada rakan agensi, iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SME Corporation Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan Agrobank yang telah mengadakan beberapa jalinan kerjasama melalui pelbagai program keusahawanan PKNS tahun lalu.

Berikut adalah senarai pemenang pada Malam Anugerah Usahawan PKNS 2023:

Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023: Robiatul Adawiyyah Ibrahim (usahawan syarikat Rabi Sugarflour Cafe' Ent)

Anugerah Usahawan Terbaik Bizup 2023: Siti Suraya Shariff (usahawan syarikat Sorrellicious Legacy)

Anugerah Usahawan Terbaik GROW 2023: Nur Asiah Kuzaiman (usahawan syarikat Asiah Kuzaiman Enterprise)

Anugerah Usahawan Terbaik GROW PLUS 2023: Yazmeen Anshary (usahawan syarikat Avantcom International Sdn Bhd)

Anugerah Usahawan PKNS (Luar Selangor): Sparkles Group Sdn Bhd dari Johor

Anugerah Industri Makanan/Minuman (Pembuatan): DNA Herbal Industries Sdn Bhd

Anugerah Industri Makanan/Minuman (Perkhidmatan): Jaqued Holdings Sdn Bhd

Anugerah Industri Perkhidmatan: Melody Corporation House Sdn Bhd

Anugerah Industri Peruncitan: Ashvertising Marketing Sdn Bhd

Anugerah Industri Pembuatan: Eskandar Global Sdn Bhd

Anugerah Usahawan Global: Syarikat Pak Tam Katering Sdn Bhd

Anugerah Usahawan Premium: Nims Adeliciousz Sdn Bhd

-BERNAMA

Berita Harian X