Isnin, 29 Januari 2024 | 2:43pm
Ramanan (tengah) mengadakan sesi lawatan dan taklimat operasi AIM yang turut dihadiri oleh Syed Hussian (kiri) - Foto BERNAMA
Ramanan (tengah) mengadakan sesi lawatan dan taklimat operasi AIM yang turut dihadiri oleh Syed Hussian (kiri) - Foto BERNAMA

AIM sasar salur RM2.61 bilion pinjaman kepada usahawan

KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasarkan menyalurkan sebanyak RM2.61 bilion pinjaman kepada seramai 340,000 usahawan mikro di seluruh negara.

Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz, berkata pihaknya berjaya menyalurkan sebanyak RM2.6 bilion kepada seramai 320,000 usahawan pada tahun lalu.

"Tahun ini jumlah pembiayaan meningkat susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan penambahan dana sebanyak RM100 juta menerusi Belanjawan 2024.

"Dana ini mampu memberi bantuan tambahan kepada kira-kira 20,000 usahawan baharu tahun ini dengan anggaran pinjaman antara RM3,000 sehingga RM5,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat AIM di Bandar Sri Damansara dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk R Ramanan mengadakan sesi lawatan dan taklimat operasi AIM.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Shamir berkata, AIM akan mula menyalurkan dana tambahan berkenaan bermula Mac ini.

Katanya, pihaknya yakin jumlah usahawan yang akan membuat permohonan meningkat menjelang sambutan Ramadan dan Aidilfitri ini.

"Selain itu, kita akan gerakkan setiap cawangan AIM untuk bekerjasama dengan lebih rapat dengan Ahli Parlimen dan wakil rakyat untuk mengatasi masalah kemiskinan di kawasan masing-masing seperti saranan Perdana Menteri," katanya.

Shamir berkata, sejak beroperasi 37 tahun lalu, hampir semua usahawan mikro berjaya membayar pinjaman mereka setiap minggu tepat pada masanya, malah tahun lalu sebanyak 99.91 peratus usahawan membayar pinjaman mereka semula.

"Hanya 0.09 peratus atau seramai 240 usahawan daripada 320,000 peminjam gagal membayar pinjaman mereka. Oleh itu, AIM mengadakan program khas kepada mereka bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Berita Harian X