Isnin, 22 Januari 2024 | 11:01am
Wan Mohd Ariff Rashiddin (kanan) bersama dua pekerjanya menunjukkan air minuman berjenama Hasriff Water, akan dikeluarkan bukan depan. - Foto Baharom Bakar
Wan Mohd Ariff Rashiddin (kanan) bersama dua pekerjanya menunjukkan air minuman berjenama Hasriff Water, akan dikeluarkan bukan depan. - Foto Baharom Bakar

Air minuman berbungkus Hasriff Water keluaran Bumiputera sasar pasaran Pantai Timur

KUALA TERENGGANU: Air Minuman Berbungkus (ABM) keluaran Syarikat Hasriff Water Sdn Bhd, milik usahawan Bumiputera 100 peratus dijangka menembusi pasaran di Pantai Timur bulan depan.

Syarikat pengeluar ABM dari daerah Besut memperolehi lesen di bawah program Keselamatan dan Kualiti Makanan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pemilik syarikat, Datuk Wan Mohd Ariff Rashiddin Wan Jusoh, berkata pihaknya dijangka mampu mengeluarkan AMB sebanyak 20,000 botol mengandungi 350 mililiter (ml), 500 ml dan 1.5 liter

sebulan.

Katanya, minuman dikeluarkan syarikat akan diedarkan untuk pasaran di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Kita juga sudah membuat tempahan botol kosong yang boleh memuatkan air berjumlah 5.5 liter seperti dicadangkan dan permintaan pasar raya.

"Selain mengeluarkan minuman berjenama sendiri, mesin penapisan air yang kita miliki juga mampu untuk menerima tempahan syarikat lain menggunakan jenama mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Ariff Rashiddin berkata, syarikatnya baru menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk memproses AMB menggunakan nama dan logonya.

"Kita sudah mengeluarkan AMB selepas menerima lesen daripada KKM akhir bulan lalu, tetapi minuman itu kita hantar kepada semua masjid dan surau secara percuma," katanya yang membuat pelaburan RM12.2 juta untuk membuka syarikat.

Berita Harian X