Khamis, 11 Januari 2024 | 2:34pm
Ramanan Krishnan mengadakan sidang media pada lawatan rasmi ke SME Bank hari ini -NSTP/Genes Gulitah
Ramanan Krishnan mengadakan sidang media pada lawatan rasmi ke SME Bank hari ini -NSTP/Genes Gulitah

SME Bank sasar pembiayaan RM4 bilion kepada PKS

KUALA LUMPUR: SME Bank menyasarkan pembiayaan sebanyak RM4 bilion kepada usahawan terutamanya perniagaan kecil dan sederhana (PKS) pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2.5 bilion membabitkan lebih daripada 1,000 usahawan akan diperuntukkan khusus untuk PKS.

Beliau berkata, pembiayaan yang tinggi kepada PKS itu juga adalah seiring dengan mandat kementerian serta hasrat kerajaan untuk memperkasakan usahawan.

Katanya, antara keutamaan adalah kepada usahawan yang tidak mendapat akses pembiayaan dan terpinggir daripada sistem kewangan.

Selain pembiayaan untuk usahawan, SME Bank katanya turut mempunyai program di bawah Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR).

"CEDAR ini adalah program yang unik dan memberikan bimbingan bukan saja pengurusan kewangan tetapi merangkumi setiap aspek lain seperti strategi perniagaan dan pemasaran.

"Saya akan bawa usul meningkatkan penguasaan CEDAR melangkaui semua agensi dan kementerian kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan selepas itu kepada Perdana Menteri," katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke SME Bank di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi SME Bank, Datuk Muslim Hussain; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Aria Putera Ismail dan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, SME Bank sentiasa menumpukan kepada pemerkasaan usahawan.

Beliau berkata, daripada sasaran pembiayaan pada tahun ini, RM2.5 bilion adalah untuk PKS manakala bakinya adalah untuk pembiayaan kepada sektor komersial termasuk pembiayaan hijau.

SME Bank juga, katanya mempunyai program memperkasakan usahawan ke peringkat yang lebih tinggi terutamanya untuk eksport ke pasaran baru.

"Program eksport dan pemerkasaan pemasaran usahawan berjaya mendapat sambutan dengan jumlah jualan sebanyak lebih daripada AS$45 juta pada tahun lalu.

"Pada tahun ini kita juga mempunyai pelbagai program untuk membawa usahawan ke peringkat global dengan penyertaan pelbagai karnival perniagaan global.

"Kami menyasarkan untuk mencapai sasaran jualan eksport yang lebih tinggi, sekali gus membantu usahawan di bawah bimbingan SME Bank untuk bergerak ke arah yang lebih tinggi," katanya.

Berita Harian X