Khamis, 4 Januari 2024 | 3:13pm
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, pada sessi taklimat di Menara Kembar Bank Rakyat. NSTP/FATHIL ASRI.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, pada sessi taklimat di Menara Kembar Bank Rakyat. NSTP/FATHIL ASRI.

Kerajaan akan laksana pelbagai langkah tingkatkan keupayaan PMKS

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah serta inisiatif bagi meningkatkan keupayaan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, langkah ini termasuk sokongan berterusan dari agensi di bawah kementeriannya terutamanya Bank Rakyat.

Beliau berkata, Bank Rakyat sentiasa mengutamakan pembiayaan kepada PMKS terutamanya usahawan mikro bagi memberikan galakan pemangkin kepada mereka beralih ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, bagi tujuan itu, Bank Rakyat telah menyalurkan pembiayaan mikro berjumlah lebih daripada RM50 juta kepada 1,856 usahawan dan perusahaan mikro sepanjang 2023.

"Sokongan berterusan Bank Rakyat terhadap sektor PMKS adalah amat sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengantarabangsakan PMKS sebagai agenda utama transformasi ekonomi negara.

"Ini terutamanya menerusi inisiatif Ekonomi Madani yang dirangka berlandaskan faktor kemasyarakatan, nilai dan norma masyarakat yang ditekankan dalam konsep Malaysia Madani," katanya selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Bank Rakyat di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman.Ramanan berkata, berdasarkan pembiayaan mikro itu pada 2023, RM43.5 juta sudah disalurkan kepada perusahaan Bumiputera, manakala perusahaan Cina menerima pembiayaan sebanyak RM5.4 juta dan India

sebanyak RM1.04 juta.

Beliau berkata, komitmen Bank Rakyat dalam mengupaya lebih ramai usahawan dan perniagaan berskala kecil dan sederhana daripada setiap lapisan masyarakat juga mampu membantu Kerajaan mencapai aspirasi pembasmian miskin tegar.

Di samping itu katanya ia juga dapat mempertingkatkan daya saing perusahaan PMKS menerusi manfaat pembiayaan

daripada dana yang diperuntukkan oleh kerajaan melalui agensinya.

"Selain itu Bank Rakyat juga sudah membantu memberikan pembiayaan runcit sebanyak RM82.49 bilion setakat September 2023."Ini menunjukkan Bank Rakyat sentiasa ke hadapan dan menjadi institusi utama dalam membantu rakyat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman pula berkata, pihaknya turut meletakkan sasaran pembiayaan sekitar RM50 juta kepada usahawan mikro pada tahun ini.

Beliau berkata, Bank Rakyat berhasrat sepenuhnya untuk melaksanakan pembangunan strategik usahawan dan koperasi.

Komitmen itu katanya membabitkan penyediaan kemudahan bimbingan pakar dalam bidang khusus serta pengurusan perniagaan yang berkesan, terutamanya kepada komuniti 'unserved' dan

'underserved'.

"Selain itu, Bank Rakyat juga telah melancarkan inisiatif SU.TE.RA pada tahun lalu, iaitu sebuah platform interaksi yang menghubungkan usahawan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan.

"Program interaksi termasuk 'Santai Namun Sampai' dan kempen #asalkepompongmenjadisutera, Penasihat Koperasi dan Usahawan, Bengkel Pembiayaan Islam, Program Mentor Graduan dan Program Pembangunan Vendor juga telah memberikan impak yang besar dengan penyertaan lebih 5,300 peserta di seluruh negara," katanya.

Berita Harian X