Selasa, 21 November 2023 | 3:19pm
Acryl Sani berucap pada majlis perasmian SParK 2023 di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Saifullizan Tamadi
Acryl Sani berucap pada majlis perasmian SParK 2023 di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Saifullizan Tamadi

PUNB mahu salur RM275 juta pembiayaan kepada usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyasar untuk menyalurkan pembiayaan perniagaan sebanyak RM275 juta tahun depan bagi membantu membangunkan ekosistem perniagaan Bumiputera.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata sasaran pembiayaan yang lebih tinggi itu juga seiriang dengan agenda Ekonomi MADANI.

Beliau berkata, ia juga akan dilaksanakan menerusi skim pembiayaan PROSPER yang menawarkan pembiayaan sebanyak RM100,000 sehingga RM10 juta, Skim Small Prosper Express Evaluation and Disbursement (SPEED) yang menawarkan pembiayaan 'fast lane' sehingga RM200,000 dan skim pembiayaan khas seperti PROSPER IMPACT dengan pembiayaan perniagaan sehingga RM5 juta.

Selain itu, katanya sejumlah RM60 juta turut diperuntukkan kepada PUNB untuk mempertingkatkan pemilikan hartanah perniagaan untuk usahawan Bumiputera menerusi Program PROSPER Hartanah.

"Agenda utama PUNB adalah memperkasakan usahawan Bumiputera selain terus membantu mengukuhkan ekosistem perniagaan dan ekonomi negara.

"Tahun ini setakat Oktober lalu, PUNB telah meluluskan pembiayaan perniagaan lebih RM200 juta kepada 420 usahawan.

"Malah, sejak penubuhan PUNB sehingga kini, seramai 14,700 usahawan telah dibantu dengan jumlah kelulusan pembiayaan sebanyak RM4.3 bilion," katanya selepas merasmikan Simposium Peruncitan Kebangsaan (SPARK 2023) di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Dr Ameer Ali Mydin dan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, usahawan Bumiputera juga perlu selangkah ke hadapan dalam perubahan landskap perniagaan serta strategi terkini dalam peruncitan selain sentiasa melaksanakan perkongsian pengalaman dengan peserta industri.

Beliau berkata, antara penekanan yang perlu diberi perhatian oleh usahawan Bumiputera adalah dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan pematuhan inisiatif Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus (ESG).

Hala tuju itu, katanya adalah penting untuk negara mengharungi cabaran masa depan bagi mencapai matlamat Negara Sifar Karbon menjelang 2050.

Ini kerana, katanya ESG kini menjadi tonggak utama yang digunakan untuk mengukur kemampanan sesebuah industri atau perniagaan walaupun ketika ini mungkin banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih di peringkat awal pelaksanaannya.

"Kami memahami apabila berbicara mengenai SDG dan ESG, masih ramai usahawan yang tertinggal kerana kurangnya pemahaman mengenai perkara itu.

"Justeru, banyak inisiatif yang telah dilaksanakan PUNB dalam operasi harian untuk menyokong dan mempromosikan agenda SDG dan ESG.

"Saya percaya ada di antara usahawan PUNB juga sudah mula ke arah SDG dan ESG dengan menerapkan elemen-elemennya dalam operasi perniagaan masing-masing. Oleh itu, PUNB mahu usahawan semua bersama-sama meneroka peluang itu," katanya.

Berita Harian X