Khamis, 21 September 2023 | 3:32pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Program Pengukuhan Mikro MADANI bagi membantu 20,700 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh negara hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Program Pengukuhan Mikro MADANI bagi membantu 20,700 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh negara hari ini.

Agensi perlu lebih cakna cabaran dihadapi usahawan - Ewon

KUALA LUMPUR: Agensi-agensi kerajaan dan swasta perlu lebih cakna akan cabaran yang dihadapi usahawan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mendepani cabaran ekonomi serantau dan situasi geopolitik semasa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pendekatan terbaik perlu dicari dalam memastikan bantuan disalurkan kepada usahawan untuk terus berkembang maju.

Katanya kerajaan amat komited dalam memastikan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif dapat dicapai menjelang tahun 2030.

"Peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) adalah menggalakkan dan mengukuhkan peranan sektor PMKS dalam kemajuan ekonomi negara.

"Komitmen ini diterjemahkan dengan menyediakan persekitaran yang diperlukan seperti mengukuhkan infrastruktur yang menyokong pembangunan PMKS, membina kapasiti dan keupayaan PMKS dan meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi PMKS," katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran SME Bank XCESS 2023 di sini hari ini.

Ewon berkata kementeriannya menyokong penuh SME Bank XCESS sebagai satu 'flagship programme' anjuran SME Bank sebagai komitmen berterusan memacu pertumbuhan PMKS secara inklusif dan mampan.

Katanya program itu menyokong komitmen kerajaan apabila strategi SME Bank untuk memastikan kemudahan, jangkauan dan perkhidmatan kepada PMKS dapat ditawarkan secara harmoni membuka pelbagai peluang kepada semua.

"Ini akan membantu dari segi peningkatan kapasiti, pengenalan kepada keadaan dan keperluan pasaran serta belajar daripada usahawan yang telah berjaya di pasaran luar," katanya.

Sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah meningkat kepada 38.4 peratus pada 2022 dengan nilai tambah berjumlah RM580.4 bilion berbanding RM520 bilion pada 2021.

Dalam pada itu, SME Bank XCESS 2023 telah menerima 80,000 pengunjung dari platform dalam talian dan juga fizikal, melebihi sasaran awal 40,000 pengunjung.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Aria Putera Ismail berkata SME Bank XCESS akan menampilkan 100 rakan strategik pada tahun ini termasuk agensi kerajaan, syarikat GLC, syarikat runcit dan pasar raya besar serta syarikat anchor dan pembeli antarabangsa.

"Sorotan penting untuk edisi 2023 ialah pengenalan XCESS Beyond Borders yang membolehkan PMKS berhubung dengan 24 pembeli dari negara-negara ASEAN dan India.

"SME Bank kini bekerjasama dengan tujuh buah syarikat anchor di bawah Program Umbrella iaitu Ramly Food Processing Sdn Bhd, Prowheels Distributor Sdn Bhd, Kara Holdings Sdn Bhd, Chatime Malaysia Sdn Bhd, Bubblebee Sdn Bhd, Bateriku Sdn Bhd dan Petronas Lubricants Marketing Sdn Bhd," katanya.

Beliau berkata SME Bank turut memperkenalkan tiga lagi syarikat anchor baharu untuk 2023 iaitu MAIWP Healthcare Sdn Bhd, Glories Gadget Sdn Bhd dan Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd serta sembilan peserta program yang akan bernaung di bawah pelbagai syarikat anchor.

"Dua syarikat anchor di bawah program Umbrella SME Bank iaitu Petronas Lubricants Marketing Sdn Bhd dan Bateriku Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik untuk menyediakan rangkaian bekalan, perkhidmatan 'pick-up and drop' serta pembangunan modal insan untuk bengkel PETRONAS AutoExpert," katanya.

Sejak program Umbrella SME Bank diperkenalkan pada 2019, SME Bank telah meluluskan 33 permohonan pembiayaan bernilai RM14.7 juta kepada peserta program dan pihak bank juga menyokong tujuh buah syarikat anchor melalui pembiayaan bernilai RM75.5 juta.

– Bernama

Berita Harian X