Jumaat, 8 September 2023 | 3:55pm
Muhammad Zamry Abu Samah (lima dari kiri) bersama sembilan operator kafe Richiamo Coffee yang menerima anugerah pada majlis di Port Dickson, Negeri Sembilan, malam tadi. - NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
Muhammad Zamry Abu Samah (lima dari kiri) bersama sembilan operator kafe Richiamo Coffee yang menerima anugerah pada majlis di Port Dickson, Negeri Sembilan, malam tadi. - NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA

Richiamo Coffee intai peluang di Arab Saudi

PORT DICKSON: Richiamo Coffee Sdn Bhd (Richiamo Coffee), syarikat Bumiputera pemilik rangkaian kafe kopi premium, Richiamo Coffee di seluruh negara, akan memperkenalkan sayap perniagaan baharu dalam bentuk rangkaian kedai serbaneka berkonsep moden, tidak lama lagi.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Muhammad Zamry Abu Samah, berkata sayap perniagaan baharu dikenali dengan nama Richiamo Mart itu, sama konsep dengan rangkaian kedai serbaneka terkenal dari luar negara yang beroperasi di Malaysia ketika ini.

"Rangkaian itu dijangka bermula dengan dua cawangan di ibu negara. Beberapa operator kafe Richiamo Coffee sudah menunjukkan minat dan dalam perancangan membuka kedai serbaneka ini," katanya dalam ucapan dan ketika ditemui pemberita pada Malam Anugerah Richiamo 2023, di sini malam tadi.

Muhammad Zamry berkata, perancangan awal adalah membuka Richiamo Mart di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Pasar Seni dan MRT Istana Budaya, yang dijangka pada hujung tahun ini sebelum diperluaskan ke kawasan perumahan, terutama bangunan kondominium.

"Setiap lokasi petempatan baharu akan memberi peluang untuk operasi kedai serbaneka seperti ini dan kami menjangkakan lebih 20 cawangan Richiamo Mart dibuka di sekitar Lembah Klang menjelang awal tahun depan," katanya lagi.

Muhammad Zamry yakin Richiamo Coffee yang menerima anugerah 'Brand of The Year 2022 – World MuslimPreneuer' pada Februari lalu, mampu berkembang dari semasa ke semasa dan tidak terhad kepada perniagaan kopi atau kafe semata-mata.

Richiamo Coffee mula bertapak pada 2016 di Malaysia, kini mempunyai hampir 150 kafe, termasuk berjaya menembusi pasaran antarabangsa di Siem Reap, Kemboja.

"Kejayaan membawa jenama Richiamo Coffee ke Siem Reap adalah tapak dan perintis awal kepada Richiamo Coffee untuk berkembang di luar negara. Pasaran seterusnya kemungkinan besar di Makkah atau Madinah.

"Sasaran kami pada hujung tahun ini, lebih 200 cawangan Richiamo Coffee akan beroperasi di seluruh Malaysia dan kita juga mengintai peluang di luar negara, terutama di kawasan tumpuan pelancong," katanya.

Berita Harian X