Isnin, 1 Mei 2023 | 3:06pm
The Coffee Bean and Tea Leaf Malaysia Sdn Bhd (Coffee Bean)
The Coffee Bean and Tea Leaf Malaysia Sdn Bhd (Coffee Bean)

Coffee Bean kekal harga produk di sebalik kenaikan kos

PUCHONG: The Coffee Bean and Tea Leaf Malaysia Sdn Bhd (Coffee Bean) tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan harga jualan produknya dalam masa terdekat biarpun terkesan dengan kenaikan kos bahan mentah.

Pengarah Urusan Coffee Bean, Mohamed Amar Shah, berkata buat masa ini pihaknya masih berupaya untuk menyerap kenaikan kos, namun akan melakukan penilaian semula harga jualan apabila tiba waktunya dan akan terus memastikan harga ditawarkan kekal kompetitif.

"Harga (jualan) kami tertakluk kepada bagaimana (kenaikan) kos memberi kesan kepada perniagaan. Kami telah menjadi konservatif dengan kenaikan harga, sejak pandemik kami telah menyerap semua kos dan kenaikan harga adalah amat rendah.

"Bagaimanapun memandangkan kos terus naik, maka kami terpaksa untuk menilai dan menyemak semula (harga) untuk memastikan perniagaan terus kekal mampan.

"Namun, kami masih lagi kompetitif di pasaran dan harga kami adalah amat mesra pelanggan," katanya kepada BH.

Beliau ditemui pada majlis pembukaan kafe ke-150 Coffee Bean yang terletak di Sierra Fresco, dekat sini.

Pembukaan kafe baharu itu adalah satu lagi pencapaian dalam tempoh 25 tahun untuk membawa cita rasa asli kepada rakyat Malaysia di seluruh negara.

Dalam pada itu Mohamed Amar berkata, setakat ini pihaknya sudah membuka 10 cawangan baharu sejak awal tahun ini, dengan kebanyakan cawangan dibuka di Lembah Klang.

"Untuk tahun ini, kami mengunjurkan pertumbuhan yang sihat dari segi jualan dan menjangkakan tahun yang lebih baik berbanding tahun lalu.

"Pertumbuhan ini bagaimanapun bergantung kepada keadaan ekonomi Malaysia. Jika ekonomi adalah sihat, maka pengguna akan mampu berbelanja dan jika sebaliknya, keadaan akan menjadi sukar.

"Selain itu, kami juga bercadang untuk menambah bilangan segmen pandu lalu ke dalam cawangan baharu kami akan datang kerana melihat pengguna di sini menyukai konsep berkenaan.

"Ketika ini, kami sudah mempunyai tujuh pandu lalu di seluruh Malaysia," katanya.

Berita Harian X