KUALA LUMPUR: Phuture Food, pengeluar makanan berasaskan tumbuhan terkemuka di Malaysia bekerjasama dengan jenama makanan dan minuman (F&B) terkenal termasuk Coffee Bean Tea Leaf dan OldTown White Coffee sempena Ramadan ini.
Phuture Food mengeluarkan dan membekalkan rangkaian protein berasaskan tumbuhan Phuture, sedia untuk dimasak seperti High Fibre Chick'n, Invincible Mince, Burger Patties Super Gourmet dan High Fiber Chick'n Breast Nuggets.
Ketua Pegawai Eksekutif Phuture Food, J Yap, berkata terdapat peningkatan ketara dalam permintaan pasaran yang didorong oleh isu global yang memuncak seperti keselamatan dan kelestarian makanan, perubahan trend pengguna kepada veganisme dan penurunan berterusan dalam kos makanan berasaskan tumbuhan.
"Kami melihat ini secara langsung, apabila kami menyaksikan peningkatan minat daripada jenama F&B terkemuka di sini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengasaskan Phuture Food pada 2018 bersama Lim Jin Yin.
Yap menambah, Phuture memastikan keenakan makanan tidak terjejas kerana syarikat mencipta semula pengalaman berdaging dengan teliti melalui teknologi sains makanan.
"Teknologi pemprosesan unik Phuture yang meniru binaan daging berjaya menggabungkan rasa berlemak yang lazat ke dalam produk berasaskan tumbuhan kami.
"Ini dicapai melalui campuran protein tumbuhan, serat, karbohidrat, lemak, pewarna dan perasa semulajadi dan penggunaan pemprosesan haba," katanya.
Untuk usaha R&D yang berterusan ke arah pengeluaran daging alternatif berasaskan tumbuhan yang berkualiti tinggi, Phuture Food baru-baru ini mendapat pengiktirafan sebagai 500 syarikat makanan terbaik di dunia oleh 500FoodTech.
Anugerah ini mengiktiraf bakat di peringkat global yang membawa kemajuan dalam teknologi makanan.
Menurut laporan Bloomberg, pasaran makanan berasaskan tumbuhan dijangka membentuk sehingga 7.7 peratus daripada pasaran protein global menjelang tahun 2030, dengan nilai lebih dari AS$162 bilion, meningkat daripada AS$29.4 bilion pada 2020.
Laporan ini menyatakan bahawa rangkaian restoran global, peneraju pasaran berasaskan tumbuhan serta faedah kesihatan dan kenampanan akan mendorong penggunaan pilihan makanan alternatif jangka panjang.
Ketua Pemasaran & Inovasi The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia, Fiona Rodrigues, berkata, sebagai jenama yang telah berkhidmat kepada komuniti Malaysia sejak 25 tahun yang lalu, syarikat itu memahami impak setiap inisiatif yang dilakukan.
"Daripada kopi dan teh yang datang dari sumber yang beretika kepada penyedut padi ungu ikonik, setiap langkah kecil yang kami ambil memberi impak jangka panjang."
"Dengan pengenalan 'Set Sarapan Berasaskan Tumbuhan', kami sangat teruja kerana dapat menyumbangkan satu lagi impak positif.
"Pasa masa yang sama, pengenalan pilihan berasaskan tumbuhan menekankan kepercayaan kami bahawa keterangkuman adalah penting dan hidangan kami bersesuaian untuk semua orang," katanya.
Ketua Pegawai Pembangunan OldTown White Coffee, Deric Yeo, pula berkata, sebagai sebahagian usaha untuk menawarkan makanan berkhasiat dengan harga yang berpatutan, mereka telah memulakan kerjasama dengan Phuture Food dan memperkenalkan makanan berasaskan tumbuhan yang kaya dengan protein serta serat untuk menggalakkan pilihan makanan yang sihat dan mampan.
"Kami menawarkan hidangan Chick'n Popcorn yang berasaskan tumbuhan Phuture di konsert Blackpink baru-baru ini. Sambutan positif daripada pengunjung konsert mendorong penambahan menu untuk mereka yang cenderung kepada makanan berasaskan tumbuhan," katanya.