Selasa, 21 March 2023 | 1:55pm
Nazri dan Adzliana selepas menandatangani perjanjian kerjasama strategik Buletin FM dan Usanita di Sri Pentas, hari ini -NSTP/Aziah Azmee
Nazri dan Adzliana selepas menandatangani perjanjian kerjasama strategik Buletin FM dan Usanita di Sri Pentas, hari ini -NSTP/Aziah Azmee

Buletin FM, Usanita bekerjasama majukan usahawan wanita

PETALING JAYA: Buletin FM, stesen radio di bawah Media Prima Audio (MPA) menjalin kerjasama dengan Usanita Sdn Bhd bagi membantu membangunkan modal insan usahawan terutamanya golongan wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran, berkata kerjasama itu adalah salah satu usaha mempertingkatkan imej stesen Buletin FM dan memberi kredibiliti yang lebih kukuh, bersama entiti berpengaruh seperti Usanita.

Beliau berkata, banyak inisiatif yang sudah dilakukan oleh Buletin FM dalam pelbagai sudut terutama bagi menyokong industri keusahawanan.

Katanya, inisiatif seperti yang dilaksanakan dengan Usanita ini bukan sahaja untuk mengekalkan sebagai saluran penyiaran berwibawa, tetapi memberi manfaat kepada pendengar terutama mereka yang mempunyai aspirasi untuk menceburi bidang perniagaan.

"Program yang ditampilkan menerusi kerjasama ini, direka khas untuk menepati misi Usanita menyediakan peluang modal insan berkualiti," katanya selepas majlis menandatangani kerjasama strategik Buletin FM dengan Usanita di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Seri Adzliana Hasan; Ketua Rangkaian Kandungan Buletin FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood; serta penyampai Buletin FM iaitu Izwan Azir, Muaz, Marsila Hassan, Haiza dan Hanif Miswan.

Nazri berkata, landskap keusahawanan sudah melalui sebuah transformasi yang besar terutama sekali selepas pandemik, di mana lebih tertumpu ke arah pendigitalan dalam realiti.

"Buletin FM selaku saluran penyiaran yang ingin tampil lebih berwibawa, amat berbesar hati apabila Usanita bersetuju untuk menjalinkan kerjasama ini kerana secara tidak langsung kredibiliti kami akan ditingkatkan dengan jenama Usanita yang sudah kukuh dalam bidang keusahawanan.

"Ini menjadikan stesen kami jenama yang lebih dipercayai untuk membawa topik dan isu yang membabitkan keusahawanan," katanya.

Antara program yang dirangka melalui kerjasama ini adalah Usahawan Masterclass Buletin FM dimana orang ramai yang mempunyai idea perniagaan, ataupun sudah menjalankan perniagaan berpeluang untuk membentangkan idea mereka bagi peluang memenangi dana berjumlah RM50,000.

Selain itu, program ini juga akan diikuti dengan webinar khas, Masterclass Buletin yang akan membincangkan topik dan tips keusahawanan.

Sesi Masterclass ini akan dibawakan secara langsung menerusi Facebook Buletin FM dan aplikasi Audio+, menampilkan tetamu dari Usanita dan ikon usahawan yang bakal memberi perkongsian bagi memberi inspirasi serta idea kepada penonton yang ingin menceburi dan berjaya dalam industri keusahawanan.

Sementara itu, Adzliana berkata Usanita memilih Buletin FM sebagai salah satu rakan strategik kerana melihat kredebiliti dalam menyampaikan maklumat kepada usahawan tempatan.

"Melihat kepada intipati Buletin FM juga yang banyak menyiarkan pelbagai rancangan dalam bentuk yang profesional adalah salah satu daya penarik untuk mengadakan kerjasama strategik.

"Saya berharap kerjasama ini dapat menambah pendedahan Usanita kepada khalayak ramai terutamanya golongan usahawan agar dapat menjadi salah seorang perintis kami.

"Saya juga berharap bahawa kerjasama ini dapat membuka pintu yang lebih luas bukan sahaja dengan Buletin FM malah kumpulan Media Prima turut serta bersama Usanita membangunkan modal insan," katanya.

Selain program Usahawan Masterclass Buletin FM, perjanjian kerjasama strategik ini juga membabitkan pengisian khas, Biz Spot di mana usahawan daripada Perintis Usanita akan dijemput untuk membuat perkongsian menerusi segmen Santai Siang bersama Marsila Hassan.

Program Usanita juga akan disokong sepanjang tahun menerusi siaran luar Buletin FM dan penampilan khas penyampai Buletin FM.

Berita Harian X