Isnin, 20 March 2023 | 11:54am
Simbolik pelancaran butik Dleqa dilakukan Siti Umi (kiri) dan Siti Nor Atikah.
Simbolik pelancaran butik Dleqa dilakukan Siti Umi (kiri) dan Siti Nor Atikah.

Usahawan wanita dua beradik lonjak jenama Dleqa

KUALA LUMPUR: Usaha dua beradik mengemudi jenama Dleqa, Siti Umi Mohd Norzuki, 37, dan Siti Nor Atikah Mohd Norzuki, 29, dalam memartabatkan pakaian wanita terutama baju kurung trendy dan moden tidak pernah ternoktah.

Diasaskan pada tahun 2016, jenama yang berdaftar di bawah syarikat Dleqa Sdn Bhd itu sebenarnya tidak melalui laluan mudah.

Pendek kata, pelbagai rintangan dilalui untuk mengukuhkan empayar perniagaan mereka hingga membuahkan hasil.

Menurut Siti Umi yang juga graduan Sarjana Muda Elektrik dari Universiti Teknologi Nasional (UNITEN), pernah pada dua tahun pertama perniagaan langkah mereka terhenti dek silap percaturan.

"Saya dan adik berjinak-jinak dalam dunia fesyen dan perniagaan ini memang berpaksikan minat. Kami asalnya cuba menjual hasil rekaan sendiri dalam talian.

"Kerana terlalu teruja dan menyangkakan semua itu terlalu mudah, kami menempah stok pakaian yang direka dalam jumlah yang agak banyak.

"Natijahnya, jualan pakaian tersadai hingga memaksa kami melakukan jualan murah untuk menghabiskan stok yang ada," kata Siti Umi.

Katanya, dia dan adiknya cuba memulakan semangat baharu pada tahun 2019.

Suasana butik yang selesa dan luas menggamit pengunjung.
Suasana butik yang selesa dan luas menggamit pengunjung.

"Siapa mampu menyangka setahun selepas itu, kita dilanda pandemik COVID-19. Kami berdepan cabaran besar kerana keadaan ekonomi semasa dan masih dilihat gagal mengikut citarasa serta trend pembeli.

"Ketika itu kami sasarkan baju dijual untuk kelompok usia sasaran 20 hingga 35 tahun. Pada satu tahap, kami hampir lemah semangat diuji dengan banyak hal selain khilaf sendiri.

"Jatuh bangun perniagaan ini banyak mematangkan kami. Ada ketika, air mata kedukaan menyelubungi diri.Namun kami tidak boleh terus mengalah dan menyerah," kata Siti Umi.

Siti Nor Atikah pula berkata, mereka akhirnya dapat mengikut rentak dan mula memasang strategi baharu.Akhirnya, jenama berkenaan bangkit sekitar tahun 2021.

Di sebalik awan mendung, pasti ada sinar pelangi yang kembali menerangi.

"Kami cuba pertimbangkan harga sesuai dan mampu milik mengikut sasaran pasaran. Syukur, usaha kami tanpa mengenal jemu memberi sinar.

"Hingga kini, kami mampu menjual lebih 4,000 helai baju kurung. Angka itu mungkin bukan jumlah besar. Tapi kami tetap melihat ia sebagai anjakan dan suntikan semangat.

"Cadangan penjualan unik (USP) baju kurung dua dalam satu dengan rekaan cetakan corak flora moden dan unik yang boleh digayakan secara sama ada secara kasual suai padan sama ada dengan skirt atau seluar turut mencuri perhatian. Ia juga antara koleksi yang laku keras," kata Siti Nor Atikah.

Bersama pekerja yang menjadi tulang belakang Dleqa.
Bersama pekerja yang menjadi tulang belakang Dleqa.

Siti Nor Atikah berkata selain baju kurung, mereka turut menjual pakaian kasual dan kaftan dengan harga dari RM169 hingga RM249.

"Ketika ini kami ada 100 dropship yang berdaftar di seluruh negara. Insya-Allah dari masa ke semasa kami mahu tambah jumlah dropship.

"Kami sasarkan jualan sebulan dalam RM100,000. Insya-Allah diizinkan Tuhan, kami nak capai sasaran RM1 juta pertengahan tahun ini. Klik https://linktr.ee/dleqa untuk lanjutah," kata graduan Diploma Seni dan Rekaan, UiTM, Shah Alam itu.

Lebih manis, kini jenama itu juga berjaya membuka butik fizikalnya yang pertama di Pusat Perniagaan The Atmostphere, Seri Kembangan, Selangor.

Majlis pembukaan rasmi berlangsung meriah 18 Mac lalu.

Malah kini, jenama diusahakan dua wanita berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu turut mempromosikan koleksi raya diberi nama Fleur Raya 2023.

Untuk rekod, Dleqa dinspirasikan salah seorang anak Siti Umi bernama Zulaikha yang dipanggil Laikha (Leqa). Pilihan huruf D itu pula sebagai penyedap.

Dleqa membawa makna segunung harapan buat penggemarnya terus 'leka' dan terpesona dengan setiap koleksi jualan.

Berita Harian X