KUALA LUMPUR: HWC Coffee Malaysia menyasarkan membuka 40 cawangan baharu serta satu cawangan pertama di luar negara pada 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif HWC Coffee Malaysia, Zenda Ng, berkata cawangan pertama luar negaranya adalah di Brunei yang bakal dibuka April ini.
Beliau berkata, selain itu kumpulan juga akan mula mengendalikan Flagship Store dan Akademi Kopi di Malaysia bermula Mei ini.
Katanya, sejak pembukaan cawangan pertamanya pada April 2022, HWC Coffee telah berkembang pesat dengan membuka 15 cawangan dalam tempoh sembilan bulan selain tiga cawangan baru pada suku pertama 2023.
"Selain itu, HWC Coffee juga merancang untuk mengembangkan penguasaannya di luar Lembah Klang termasuk pembukaan di Pulau Pinang pada April.
"Cawangan flagship dan Akademi Kopi kami juga dalam penyiapan akhir dan dijangka tersedia pada Mei ini," katanya.
Ng berkata, HWC Coffee juga akan memperkenalkan perkhidmatan klinik kopi unik dan membabitkan pelanggan serta penggemar kopi dengan cara yang menarik.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan, HWC Coffee juga menganjurkan lawatan ke Taiwan pada Mac bersama rakan media, pencipta kandungan dan rakan niaga bagi melihat sendiri proses penuaian kopi, pemprosesan kopi, pemanggangan dan pembungkusan.
"Kumpulan juga mengadakan acara di Taiwan untuk mengumumkan pelantikan selebriti Malaysia, Jack Tan dan Natasha Sass sebagai HWC Friends.
"Rangkaian kedai kopi kami juga akan melancarkan biji kopi bermusim serba baharu sempena pembukaan di Malaysia.
"Dua koleksi tersebut ialah HWC Taiwan Alishan Honey Roasted Coffee Bean dan HWC Ethiopia Yirgacheffe Roasted Coffee Bean, dengan pensijilan Halal daripada Persatuan Pembangunan Integriti Halal Taiwan," katanya.