Khamis, 2 March 2023 | 10:26pm
Pemilik francaisi Texas Chicken Malaysia, Datuk Jaya Tan
Pemilik francaisi Texas Chicken Malaysia, Datuk Jaya Tan

Usahawan Malaysia dinobat francaisi terbaik Texas Chicken

KUALA LUMPUR: Cajun Operating Company, francaisor Texas Chicken mengumumkan bahawa Datuk Jaya Tan, pemilik francaisi Texas Chicken Malaysia dinamakan salah seorang penerima anugerah 'Francaisi Terbaik Tahunan' oleh Persatuan Francais Antarabangsa (IFA).

Menurut Texas Chicken dalam satu kenyataan, setiap tahun, IFA mengiktiraf francaisi cemerlang yang menggambarkan tonggak teras IFA merangkumi komuniti, pekerja, kepelbagaian dan keterangkuman, serta veteran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IFA, Matthew Haller, berkata penerima Francaisi Terbaik Tahunan mewakili yang terbaik dalam bidang francais dan pengiktirafan tertinggi diberikan kepada francaisi individu, dan pemilik perniagaan tempatan yang menggambarkan kuasa francais serta sumbangan positif tidak terkiranya kepada komuniti di seluruh dunia.

Sementara itu, Tan berkata: "Kami berbesar hati menerima pengiktirafan global ini dan dinamakan sebagai francaisi terbaik tahunan oleh IFA. Kami tidak akan menerima pengiktirafan ini tanpa usaha hebat pekerja kami dan pelanggan setia Texas Chicken di seluruh Malaysia."

Di bawah kepimpinan Tan, jenama Texas Chicken di Malaysia terus memainkan peranan penting dari segi inovasi dan pertumbuhan.

Francaisi itu menawarkan latihan dan pemerkasaan berterusan kepada semua pekerja dalam usaha menyediakan laluan serta peluang kerjaya kepada ahli pasukan.

Justeru, platform pengurusan pembelajaran Texas Chicken dikerah untuk melatih dan membangunkan pasukan restoran yang mantap serta berkesan.

Tan dan pasukannya telah berdepan pelbagai cabaran industri, berusaha untuk melakukan perubahan yang meninggalkan impak positif dengan menempatankan rantaian bekalan dan melaksanakan tanggungjawab sosial serta komuniti, seperti terbukti dari segi reka bentuk restoran dan tawaran produk.

Paling menonjol bagi francaisi itu pada 2022 adalah pengenalan menu berasaskan tumbuhan yang dicipta oleh inovasi dan idea sendiri menerusi unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman restoran Texas Chicken Malaysia sempena Hari Alam Sekitar Dunia.

Selain diiktiraf sebagai Francaisi Terbaik Tahunan oleh IFA, Texas Chicken Malaysia menggondol Anugerah Emas Putra Brand, 'Anugerah Pilihan Rakyat' berprestij pada awal tahun ini.

-BERNAMA

Berita Harian X