KUALA LUMPUR: Dua anugerah baharu diperkenalkan dalam Majlis Anugerah Enterprise 50 (E50) 2022 iaitu kepada usahawan wanita dan pengeksport terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy, berkata anugerah khusus untuk wanita yang julung kali diperkenalkan itu dibuat berikutan peningkatan menggalakkan penyertaan mereka ke dalam E50.
Katanya, untuk tahun ini, seramai 21 atau 42 peratus usahawan wanita terpilih dalam kalangan 50 teratas atau 'Top 50'.
"Ini adalah kenaikan hampir 100 peratus berbanding hanya 11 pada 2019, malah untuk kedudukan 10 teratas pula, 40 peratus adalah wanita.
"Selain itu, kami perkenalkan anugerah untuk syarikat yang berjaya mengeksport paling banyak tahun ini bertujuan untuk menggalakkan lagi pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor ini.
"Ini kerana, meskipun 97.4 peratus daripada 1.22 juta syarikat dalam negara ketika ini adalah PKS termasuk perusahaan mikro, namun jumlah nilai sumbangan eksport mereka kepada negara hanyalah kira-kira 11.7 peratus, selebihnya masih oleh syarikat besar," katanya ketika ditemui selepas pengumuman 10 syarikat teratas untuk anugerah itu di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif, Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng.
Anugerah E50 dianjurkan di antara kerjasama SME Corp dengan Deloitte Malaysia serta rakan-rakan strategik seperti RHB Bank Bhd, Unifi Business, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), UOB Malaysia, RAM Rating Services Bhd, Media Prima Omnia Sdn Bhd dan Malaysia SME bagi mengiktiraf 50 syarikat PKS yang berprestasi tinggi, kompetitif serta berdaya saing sama ada di pasaran domestik mahupun antarabangsa.
E50 juga mengiktiraf PKS yang memberikan sumbangan kepada ekonomi negara terutamanya eksport semasa pandemik COVID-19 melanda negara.
Sebanyak 10 syarikat yang diumumkan mengikut susunan huruf ialah Armila Bhd, Artivo Education Sdn Bhd, Benithem Sdn Bhd, Bubbles 02 Sdn Bhd, Eskayvie Sdn Bhd, FUSIPIM Sdn Bhd, Palm Fiber Sdn Bhd, Tishas Food Manufacturing Sdn Bhd, TLC Houseware Sdn Bhd dan Velson Packagings Sdn Bhd.
Anugerah berkenaan tidak dianjurkan pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik COVID-19.
Mengulas lanjut, Rizal berkata, sejak program E50 dianjurkan, jumlah penyertaan tahun ini adalah tertinggi iaitu sebanyak 213 diterima.
"Bagaimanapun, berdasarkan kriteria kelayakan yang telah ditetapkan, hanya 63 syarikat berjaya melalui proses penilaian yang ketat, bagi mengenalpasti 50 syarikat teratas.
"Hanya syarikat dengan penarafan 4 dan 5 bintang di bawah Program Penilaian Penarafan Daya Saing PKS bagi Peningkatan (SCORE) layak untuk menyertai program ini.
"Proses penilaian dilaksanakan oleh Deloitte Malaysia dan rakan-rakan strategik berdasarkan pelbagai parameter, antaranya termasuk proses perniagaan, kewujudan pasaran, kedudukan kewangan; serta adaptasi digitalisasi dalam syarikat masing-masing," katanya.