Khamis, 3 November 2022 | 5:41pm

Koperasi raih manfaat pendigitalan perniagaan

KUALA LUMPUR: Koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bakal menerima manfaat dalam mendigitalkan premis perniagaan melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama MYNIC Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan, berkata MoU itu adalah salah satu inisiatif bersama untuk membantu koperasi yang berdaftar dalam meningkatkan kapasiti serta keupayaan perniagaan mereka dari 'offline' ke 'online'.

Beliau berkata, sejajar dengan tema sambutan 100 tahun gerakan koperasi Malaysia iaitu Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia, COOP.MY yang diperkenalkan bakal menjadi platform kepada mereka untuk meningkatkan daya saing, kompetitif serta kekal relevan selain

merangsang pertumbuhan aktiviti ekonomi digital negara.

"Dengan termeterainya MoU antara MYNIC, SKM dan IKMa ini, matlamat kami adalah untuk terus memainkan peranan yang sewajarnya

sebagai salah satu pembolehupaya di dalam ekosistem ekonomi digital dengan memperkasa mereka melalui pelbagai inisiatif yang dirancang.

"Pendigitalan adalah salah satu strategi yang penting di era ekonomi kini, transformasi pendigitalan premis perniagaan mampu berfungsi sebagai penyambung hayat perniagaan terutamanya ketika di dalam fasa peralihan pendemik ini.

"Melalui asset digital negara iaitu COOP.MY, ia dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan serta menaik taraf perniagaan agar sesuai dengan perubahan landskap ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasnul berkata, MYNIC yang juga agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) adalah pendaftar dan pentadbir tunggal rasmi nama domain .MY selain memperkenalkan inisiatif Program Realisasi Impian Ekonomi Digital (PRIME) dan pengenalan

nama domain COOP.MY sebagai identiti digital khas kepada hampir 15,000 koperasi yang berdaftar dengan SKM.

Beliau berkata, program berasaskan teknologi MYNIC, SKM dan juga IKMa merancang untuk menganjurkan latihan transformasi

pendigitalan kepada koperasi berdaftar seluruh negara.

MYNIC katanya akan menyediakan program bimbingan berasaskan keperluan teknologi terkini serta platform komuniti selepas sesi latihan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada kumpulan sasar.

"Kami akan berkerjasama dengan IKMa dari segi penggunaan kemudahan fasiliti dan infrastruktur bilik kuliah serta dewan untuk penganjuran latihan.

"MYNIC sentiasa komited dalam merealisasikan aspirasi negara untuk memperkasa ekonomi digital dalam kalangan usahawan dan juga koperasi seluruh negara.

"Semoga jalinan kerjasama ini akan memberi banyak manfaat kepada mereka," katanya.

Berita Harian X