Rabu, 2 November 2022 | 1:57pm
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin pada majlis pelancaran Auto Forum 2022 di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Aziah Azmee
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin pada majlis pelancaran Auto Forum 2022 di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Aziah Azmee

PUNB sasar salur RM189 juta pembiayaan tahun depan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyasar untuk menyalurkan pembiayaan perniagaan RM189 juta tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin, berkata secara keseluruhannya PUNB telah meluluskan pembiayaan perniagaan hampir kepada 9,200 syarikat membabitkan seramai 13,132 usahawan dengan jumlah kelulusan adalah sebanyak RM3.9 bilion sejak penubuhannya.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 1,179 syarikat membabitkan seramai 1,664 usahawan dengan jumlah kelulusan sebanyak RM383 juta telah disalurkan kepada Rakan Usahawan PUNB yang terbabit dalam industri berkaitan automotif.

"Bagi tahun ini setakat 30 September 2022, PUNB telah meluluskan RM116.2 juta secara keseluruhan membabitkan 310 syarikat merangkumi 483 usahawan dan daripada jumlah ini, sebanyak RM26.4 juta telah diluluskan kepada 59 syarikat membabitkan seramai 94 usahawan dalam industri automotif.

"Oleh itu, pada tahun depan kami menyasarkan untuk menyalurkan RM189 juta bagi semua sektor perniagaan di mana yang tertinggi membabitkan industri makanan dan minuman, diikuti segmen automotif serta fesyen dan tekstil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Auto Forum 2022 di sini, hari ini.

Penganjuran Auto Forum tahun ini diadakan buat julung kali dengan kerjasama antara PUNB dan Persatuan Usahawan Automotif Prosper (Autopro).

Mengulas lanjut, Izwan berkata PUNB menjalinkan kerjasama terbaharu dengan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd melalui Program Petronas AutoExpert sebagai platform kepada Rakan Usahawan PUNB yang berminat untuk menjalankan perniagaan bengkel kenderaan berkonsep di bawah jenama syarikat minyak utama Malaysia itu.

Katanya, PUNB menyasarkan 20 usahawan automotif bagi Program Petronas AutoExpert dalam tempoh dua tahun sehingga penghujung 2024.

"Setakat ini, lima Rakan Usahawan PUNB sudah menyertai program terbabit membabitkan 11 bengkel sekitar Lembah Klang, Melaka dan Perak.

"Dalam program Petronas Autoxpert ini bengkel Rakan Usahawan PUNB yang layak akan dinaik taraf menjadi pusat servis sehenti yang menyediakan sokongan kepakaran serta capaian dari sudut sistem dan kelengkapan termaju termasuk pelincir.

"Sokongan lain juga termasuk dari segi latihan, sokongan pemasaran, program dagangan serta rundingan bagi pembangunan perniagaan kepada bengkel persendirian yang menjadi rakan niaga Petronas AutoExpert," katanya.

Dalam pada itu, Izwan berkata, Auto Forum yang dianjurkan bermula 2008 adalah salah satu inisiatif PUNB untuk membantu usahawan khususnya Rakan Usahawan PUNB meluaskan jaringan perniagaan, sekali gus menggandakan penerokaan potensi perniagaan baharu serta bekerjasama secara strategik untuk melakar masa depan industri automotif yang lebih mampan.

"Selain itu, Auto Forum diadakan untuk memberi pendedahan dan maklumat tentang perkembangan dan cabaran terkini bidang automotif kepada peserta.

"Sesuai dengan tema kali ini bertajuk 'Meneroka Peluang Memacu Kelestarian', forum ini adalah platform penting bagi usahawan menimba ilmu, memantapkan pengetahuan, bertukar pandangan, berkongsi pengetahuan, kepakaran, maklumat dan cabaran untuk mempertingkatkan keupayaan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Berita Harian X