Selasa, 1 November 2022 | 2:14pm
Sayantan (kanan) dan Tengku Ahmad Badli Shah majlis menandatangani MoU di antara Agrobank dengan Foodpanda di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Rohanis Shukri
Sayantan (kanan) dan Tengku Ahmad Badli Shah majlis menandatangani MoU di antara Agrobank dengan Foodpanda di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Rohanis Shukri

Agrobank sasar pembiayaan RM10 juta untuk peniaga Foodpanda

KUALA LUMPUR: Agrobank menyasar untuk menyalurkan sehingga pembiayaan RM10 juta kepada peniaga kecil menerusi kerjasama dengan Foodpanda dalam tempoh setahun pertama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata penyaluran pembiayaan itu adalah di bawah peruntukan Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz berjumlah RM50 juta.

Katanya, sasaran itu adalah berdasarkan andaian sekiranya 50 peratus daripada lebih 5,000 HomeChef di bawah Foodpanda memerlukan pembiayaan untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

"Jika mereka memohon pembiayaan antara RM5,000 sehingga RM10,000, maka kami jangkakan sehingga RM10 juta peruntukan dapat disalurkan untuk tahun pertama.

"Kita juga berharap kerjasama eksklusif dengan Foodpanda ini dapat dijalinkan untuk tempoh jangka panjang, dan tidak terhad untuk setahun sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Agrobank dengan Foodpanda di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Foodpanda Malaysia, Sayantan Das.

Di bawah Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz, setiap pemohon akan diberi moratorium selama enam bulan dan dikenakan kadar keuntungan sebanyak tiga peratus pada bulan ketujuh dengan tempoh pembiayaan maksimum sehingga 60 bulan.

Pembiayaan boleh digunakan untuk pembelian aset tetap dan modal pusingan untuk pelbagai aktiviti perniagaan seperti pengedaran dan penghantaran makanan melalui platform p-hailing seperti Foodpanda.

Melalui program ini juga, rakan kongsi penghantaran Foodpanda boleh mendapatkan pembiayaan untuk membeli motosikal.

HomeChef adalah inisiatif untuk mengembang dan meningkatkan jumlah perniagaan dari rumah sambil menghubungkan pelanggan dengan hidangan yang dimasak dari rumah melalui platform Foodpanda.

Mengulas mengenai inisiatif berkenaan, Sayantan berkata sebagai peneraju dalam bidang penghantaran makanan dan perdagangan pantas, Foodpanda percaya dalam usaha yang boleh memperkasakan keusahawanan kerana dalam jangka masa panjang, usaha terbabit akan meningkatkan pertumbuhan perniagaan tempatan.

"Foodpanda tidak hanya berfungsi sebagai pasaran pasif semata-mata di mana vendor boleh berhubung dengan setiap pelanggan mereka, tetapi kami berusaha untuk memupuk dan menyokong untuk mereka mencapai potensi penuh masing-masing.

"Kami yakin dengan kerjasama bersama Agrobank ini, akan dapat mensinergikan kekuatan dan memberikan perubahan yang hebat untuk bakal usahawan di platform Foodpanda," katanya.

Berita Harian X