Isnin, 31 Oktober 2022 | 5:10pm
Mohd Mustafa (tengah) bersama Hong Sing (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fusionex, Datuk Seri Ivan Teh pada majlis pelancaran Hab Pemudahcara Perniagaan PKS di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Mustafa (tengah) bersama Hong Sing (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fusionex, Datuk Seri Ivan Teh pada majlis pelancaran Hab Pemudahcara Perniagaan PKS di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

SME Malaysia perkenal platform pendigitalan PKS

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) memperkenalkan platform peningkatan perniagaan ke arah pendigitalan, Hab Pemudahcara Perniagaan PKS dengan kerjasama Fusionex.

Presiden SME Malaysia, Ding Hong Sing, berkata platform itu adalah ekosistem perniagaan berpandukan data dan menjadi platform maya pertama seumpamanya di Malaysia.

Beliau berkata, Hab Pemudahcara Perniagan PKS akan membantu PKS memaksimumkan potensi perniagaan dan melengkapkan mereka dengan teknologi penyelesaian termaju bagi mengatasi cabaran perniagaan dan kekangan operasi.

Katanya, langkah yang diambil SME Malaysia adalah selepas menyedari keperluan segera untuk PKS memperkasakan digital.

"Ketika ini berlaku peningkatan dalam persaingan, perubahan permintaan pasaran dan kerumitan perdagangan global.

"Justeru, kami berhasrat untuk mempercepatkan proses pendigitalan dalam kalangan PKS, selari dengan misi pemerkasaan perniagaan tempatan sebagai penyumbang ekonomi utama negara," katanya selepas pelancaran Hab Pemudahcara Perniagaan PKS di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Hong Sing berkata, transformasi digital kini menjadi satu keperluan dan komponen utama dalam mengoptimumkan perniagaan PKS yang sekali gus dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, kerjasama dengan Fusionex yang berperanan sebagai peneraju dalam inovasi sains data, akan menyelaraskan operasi dan mampu menyelesaikan cabaran industri.

Katanya, Hab Pemudahcara Perniagaan PKS menawarkan satu set penyelesaian inovatif bagi memperkasakan perniagaan menganjurkan acara secara hibrid.

Platform itu, katanya menyediakan ruang untuk rangkaian dan peluang pembabitan PKS dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti sesi padanan perniagaan, 'pitching', webinar dan persidangan.

"Gabungan kukuh antara teknologi analisis data raya dan AI membolehkan pengguna platform memantau dan menguruskan hasil jualan, interaksi dalam talian serta analisis trend.

"Ini bagi menjadikan keputusan dapat dilakukan berpandukan maklumat yang dipacu oleh data," katanya.

Sementara itu, Mohd Mustafa berkata, usaha SME Malaysia akan membuka pintu kepada lebih banyak kemungkinan untuk meningkatkan perdagangan melalui pendigitalan dan mempergiatkan penggunaan teknologi yang akan memudahkan eksport.

"MATRADE akan mewujudkan kerjasama kukuh dengan rakan strategik seperti SME Malaysia bagi membina ruang yang lebih mampan," katanya.

Berita Harian X