KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) berjaya mencatatkan hasil jualan sebanyak RM3.1 juta bagi tiga program bimbingannya yang membabitkan 221 usahawan.
Program berkenaan ialah INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Malah, 54 peratus peserta juga berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) program yang ditetapkan iaitu peningkatan hasil jualan minimum sebanyak 20 peratus melalui program bimbingan komprehensif anjuran agensi yang berada di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
INSKEN dalam satu kenyataan berkata, jumlah hasil jualan itu terbahagi kepada tiga iaitu RM2.5 juta daripada 78 peserta Program IBBC, RM246,000 daripada 84 peserta Program Bimbingan Pembangunan Produk dan RM318,000 adalah daripada 59 usahawan yang menyertai Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, usahawan tidak boleh sentiasa merasa selesa dengan prestasi perniagaan mereka dengan keadaan semasa yang kian mencabar.
Menurutnya, usahawan dinasihatkan untuk menjadikan KUSKOP sebagai rujukan utama dalam usaha mengembangkan perniagaan kerana kementerian ini telah menyediakan pelbagai inisiatiaf untuk membantu usahawan, termasuklah kepada belia yang baru ingin memulakan perniagaan.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin, berkata peningkatan hasil jualan itu dapat dilihat kerana setiap usahawan yang menyertai program bimbingan INSKEN diwajibkan untuk memasukkan rekod hasil jualan mereka setiap bulan melalui Aplikasi IPro.
Beliau berkata, melalui bimbingan yang diberikan serta rekod hasil jualan itu juga telah membantu 18 usahawan bertukar status daripada kategori mikro kepada kategori perusahaan kecil.
Katanya, 58 usahawan telah menambah SKU baharu selepas mengikuti Program Bimbingan Produk dan 25 usahawan daripada Program Bimbingan Keuntungan Menu telah meningkatkan penggunaan medium penghantaran makanan.
Manakala 41 pekerjaan baharu dicipta melalui Program IBBC, sekali gus dapat membantu mengurangkan masalah pengangguran di kalangan masyarakat negara ini.
Setelah tamat bimbingan selama empat bulan melalui Program IBBC, Siti Raihana Japar yang menjalankan perniagaan bakeri adalah peserta terbaik kerana berjaya mencatat 179 peratus peningkatan hasil jualan.
Beliau berkata, pelbagai strategi yang diperoleh daripada Program IBBC telah dipraktikkan seperti memperkemas kanvas model perniagaan, pengurusan kewangan, pengiraan kos dan penetapan harga produk yang berpatutan.
Sementara itu, sebanyak 221 peratus peningkatan hasil jualan berjaya dicipta oleh Nor Hidayah Radzli yang menjalankan perniagaan pembuatan kek dan pastri, sekali gus menjadikan beliau antara peserta cemerlang bagi Program Bimbingan Pembangunan Produk.
Nur Amira Buang yang menjalankan perniagaan Yong Tau Fu pula adalah peserta terbaik bagi Program Bimbingan Keuntungan Menu kerana berjaya mencatat kenaikan hasil jualan sebanyak 515 peratus.
Secara keseluruhan, 221 usahawan yang bergraduasi itu telah mengikuti lapan program bimbingan INSKEN dan lima daripadanya adalah melalui hasil kerjasama bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).