Jumaat, 28 Oktober 2022 | 12:37pm
Gambar fail. - BERNAMA
Gambar fail. - BERNAMA

Prospek jualan PKS tahun ini dijangka baik - Samenta

KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia optimis mengenai prestasi mereka tahun ini, demikian menurut tinjauan yang dijalankan baru-baru ini oleh Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA).

Pengerusinya, Datuk William Ng, berkata hampir semua responden bagi tinjauan Kajian Separuh Penggal PKS yang dikendalikan pada bulan Julai dan Tinjauan dan Ramalan Runcit 2023 pada bulan September yakin dengan prospek jualan tahun untuk baki tahun 2022.

"Sektor peruncitan menyaksikan pemulihan pesat sejak pembukaan semula ekonomi. Pada bulan Ogos sebagai contohnya, nilai jualan meningkat tahun ke tahun sebanyak 34.5 peratus kepada RM57 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Namun begitu, Ng berkata kebanyakan responden kurang optimistik mengenai prospek mereka untuk tahun 2023 dengan dua daripada setiap tiga peruncit menjangkakan penurunan dalam kedua-dua nilai jualan dan volum.

Ini katanya, didorong antaranya oleh ketidaktentuan politik dan ekonomi serta peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Selain itu ketidaktentuan global, termasuk potensi perang Rusia-Ukraine yang berpanjangan, ketegangan di Selat Taiwan dan jualan berterusan di kebanyakan bursa menyebabkan keyakinan peruncit turut terjejas terhadap prospek tahun mendatang.

"Peruncit terutamanya PKS, berdepan dengan cabaran penurunan jualan, kenaikan kos secara mendadak dan kekurangan pekerja.

"Ini bukan sahaja melambatkan pemulihan dalam sektor peruncitan, tetapi turut mengekang matlamat negara untuk membina sektor peruncitan yang dinamik sebagai salah satu tunjang utama ekonomi negara," kata Ng.

Beliau menambah SAMENTA kini giat bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membantu peruncit PKS yang terjejas untuk mendigitalkan operasi mereka, meningkatkan produktiviti dan menangani isu kekangan tenaga kerja dan kenaikan kos.

Ini termasuk melaksanakan inisiatif seperti Program Transformasi Digital dan Produktiviti PKS yang dilancarkan dengan kerjasama MPC untuk mengubah 1,000 peruncit PKS menjadi perniagaan sedia-digital.

– Bernama

Berita Harian X