Isnin, 24 Oktober 2022 | 11:12am
Datuk Abd Rani Lebai Jaafar - Foto fail NSTP
Datuk Abd Rani Lebai Jaafar - Foto fail NSTP

Pengerusi Bank Rakyat raih anugerah keusahawanan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar meraih Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Usahawan Terbilang pada Forum Perniagaan Muslim Global 2022 (GMBF 2022) yang diadakan baru-baru ini.

Anugerah itu yang disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur forum berkenaan, mengiktiraf sumbangan dan prestasi cemerlang Abd Rani khususnya dalam sektor keusahawanan.

Abd Rani dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan itu juga menunjukkan usaha keras Bank Rakyat dalam membangunkan usahawan telah memberi impak dan kesan positif kepada kesejahteraan masyarakat bukan sahaja domestik, tetapi masyarakat global.

"Di bawah pelan lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25), Bank Rakyat komited dalam memainkan peranan penting sebagai enjin pertumbuhan yang menggerakkan semula sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam usaha membantu mentransformasi dan memperkasakan ekonomi negara serta Keluarga Malaysia," katanya.

Forum yang bertemakan 'Kebangkitan Ekonomi Islam Global: Memfokus Semula, Menetapkan Semula dan Pulih dalam Era Pasca-pandemik', dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri Sarawak, Institut Strategik bagi Asia Pasifik, Global One dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur.

Berita Harian X