Khamis, 14 April 2022 | 12:48pm
Kerjasama Lazada Malaysia, KPT dan UiTM bagi memperkasakan golongan muda ke arah keusahawanan
Kerjasama Lazada Malaysia, KPT dan UiTM bagi memperkasakan golongan muda ke arah keusahawanan

Lazada bantu usaha lahirkan generasi usahawan muda

KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia menjalin kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi memperkasakan golongan muda ke arah keusahawanan melalui Lazada4Youth.

Ketua Pegawai Kewangan Lazada, Cheang Kiat Cheong, berkata Lazada4Youth akan menganjurkan beberapa siri bengkel untuk usahawan digital muda, dengan peluang untuk menyertai Lazada sebagai penjual baharu atau ahli sekutu gabungan pemasaran digital.

Beliau berkata, pembabitan aktif dan keterangkuman golongan muda dalam sektor ekonomi digital negara memainkan peranan yang amat penting untuk merangsang pertumbuhan mampan.

Ia juga, katanya, akan dapat mewujudkan generasi e-dagang pada masa akan datang.

"Lazada4Youth dibentuk demi memperkasakan dan menggalakkan usahawan muda agar mereka mampu mencari jalan dan peluang baharu untuk berdikari.

"Mereka akan diajar bagaimana untuk membina perniagaan dalam skop yang lebih inklusif, dengan daya saing yang teguh, di samping mencorakkan pertumbuhan ekonomi digital negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kiat Cheong sebelum itu menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Melalui bengkel Lazada4Youth, usahawan muda akan dibimbing oleh jurulatih bertauliah lazada serta beberapa pakar Lazada dari bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pertumbuhan Pengguna.

Mereka akan didedahkan mengenai industri e-dagang, penjenamaan digital, kehadiran digital, pemasaran sekutu gabungan dan aruhan peniaga.

Sementara itu, Roziah berkata, sebagai pembimbing bakat dinamik ke arah merangsang keupayaan keusahawanan digital yang lebih kukuh, UiTM sentiasa konsisten mencari jalan bagi menyediakan platform yang lebih baik untuk memupuk dan menggiatkan bakat baharu.

"Bersama Lazada4Youth, UiTM akan terus berusaha menjadi pemangkin untuk mengembangkan potensi pelajar dan seterusnya memupuk pemimpin masa hadapan," katanya.

Apabila selesai bengkel Lazada4Youth, usahawan muda yang bersedia dan mampu menjual produk mereka secara dalam talian boleh menyertai Lazada sebagai penjual di bawah 'Hari-Harimau New Seller Kickstarter Package 2022'.

Ia adalah pakej rangsangan untuk peniaga tempatan dengan manfaat seperti bayaran komisen sifar dan insentif lain, termasuk pengecualian yuran pembayaran dua peratus serta kredit iklan percuma bernilai RM150.

Pakar yang berdedikasi juga membantu untuk membimbing usahawan digital yang baharu menyertai Lazada, demi memastikan proses induksi yang mantap, terutamanya dalam tempoh tiga bulan pertama.

Sebagai alternatif, pelajar yang menyertai program Lazada4Youth juga boleh memilih untuk berkecimpung dalam Program Pemasaran Gabungan (Affiliate Marketing Programme) yang membolehkan mereka memperolehi pendapatan sampingan dengan mengoptimumkan media sosial mereka.

Pada masa hadapan, Lazada4Youth akan terus dibangunkan dan sesi bengkel akan digerakkan di seluruh negara dengan mendekati pelajar di kampus UiTM yang lain di Wilayah Selatan dan Utara, serta Malaysia Timur, diikuti dengan kolaborasi bersama universiti tempatan lain.

Berita Harian X