Jumaat, 8 April 2022 | 11:29am
Pengasas ByRCW Sdn Bhd, Rozita Che Wan atau Che Ta.
Pengasas ByRCW Sdn Bhd, Rozita Che Wan atau Che Ta.

ByRCW lancar 3,000 tudung raya

KUALA LUMPUR: Usahawan, artis terkenal dan pengasas syarikat ByRCW Sdn Bhd, Rozita Che Wan atau Che Ta optimis terus bersaing memasarkan rangkaian tudung dan skaf mampu milik.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, koleksi tudung antara keluaran wajib diterbitkannya saban tahun.

Koleksi tudung rcwscarves diterbitkan di bawah rangkaian produk ByRCW antara yang tidak gagal memenuhi permintaan dan kehendak pasaran wanita bertudung khususnya.

Tahun ini bersempena Syawal yang akan kunjung tiba, ibu kepada tiga cahaya mata ini menampilkan sembilan koleksi terhad dan eksklusif bermotifkan jenis bunga di bawah nama Siri Florescence Raya 2022.

"Koleksi tudung empat segi ini saya hasilkan sebanyak 3,000 helai saja. Sangat terhad. Jumlah itu tidak akan ditambah atau diulang cetak. Kalau habis terjual...habislah. Tiada lagi koleksi sama pada waktu mendatang.

"Koleksi bunga diterbitkan seperti Petunia, Melati, Melur, Kemboja, Lavender, Tulip, Anggerik, Mawar dan Cempaka. Bidang tudung ini dalam ukuran 45 sentimeter.

"Ia menggunakan material satin jenis Adra yang ringan, lembut dan mudah dibentuk dengan pilihan warna pastel. Harga sehelai dijual RM69. Kalau beli tiga, harga bundle RM200. Boleh dibeli di platform e-dagang, Shopee di bawah nama by_rcw.os atau di pautan byrcw.com.my. Katalog di Instagram @rcascarves juga boleh dirujuk," katanya.

Menjadi penggemar tudung bercetak atau bermotif, Che Ta bagaimanapun tidak mementingkan diri dalam menjual tudung.Dalam erti kata lain, kehendak pembeli tetap diutamakan.

"Macam tiga motif tudung yang dijual memang atas pilihan, 'taste' dan minat sendiri. Enam lagi motif tudung saya biarkan staf tentukan bagi mewakili minat khalayak umum."Saya minat warna tudung yang terang dan bercetak. Kalau shawl saya gemar yang 'plain' atau tidak bercorak. Cuma dalam hidup ini, kita pasti akur dengan perkara tertentu. Pembeli tudung pula gemar memilih warna pastel.

"Dalam berniaga ini memang saya tak boleh syok sendiri. Biarpun saya yang akan mempromosi tudung itu, keterbukaan menjadi nadi," katanya.

Mengenai harga RM69 sehelai yang ditetapkan , Che Ta percaya ia sangat berpatutan."Dengan kualiti fabrik tudung digunakan, harga itu kira berbaloi. Lebih untung beli tiga sekali," katanya.

Bakal pulang beraya ke Alor Setar, Kedah selepas 'terperangkap' dua tahun di ibu kota kerana pandemik COVID-18, Cheta ada berita gembira untuk pembeli tudung di Alor Setar dan Jitra.

"Kebetulan saya akan balik beraya awal, jadi saya sendiri akan menghantar sendiri tudung dibeli. Tapi dengan syarat mereka kena beli sembilan koleksi yang dijual," katanya.

Selain tudung, jenama syarikat yang beroperasi di Sungai Buloh itu juga mengeluarkan pelbagai produk lain termasuk minyak wangi, tas tangan, pencuci wanita, minuman tenaga.

Malah, jubah juga dipasarkan di bawah Padusi Couture. Selain itu, wanita kelahiran Alor Setar Kedah mempunyai rumah produksi, Padusi Pictures.

Berita Harian X