Selasa, 29 March 2022 | 4:08pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Dana Kecemasan PKS 2.0 (SMEEF 2.0) dan Pelancaran Pelan Anti Rasuah SME Corp Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Dana Kecemasan PKS 2.0 (SMEEF 2.0) dan Pelancaran Pelan Anti Rasuah SME Corp Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA

Noh arah permudah syarat, segera bantu usahawan PKS terjejas banjir

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar mengarahkan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) mempermudah proses dan menyegerakan pemberian pinjaman melalui Bantuan Dana Kecemasan PKS (SMEEF 2.0) kepada usahawan sektor itu yang terjejas akibat banjir.

Katanya, pemberian pinjaman kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan bencana itu perlu diproses dan disalurkan secepat mungkin kerana ia bagi tujuan kecemasan dan supaya sektor PKS negara dapat dirancak serta dihidupkan semula.

"Ini arahan baharu saya, syaratnya (permohonan pinjaman) cukup mudah. Yang pertama, buktikan syarikat terkena banjir dan pengesahan boleh dibuat sama ada di pejabat daerah, melalui laporan polis atau pemimpin tempatan. Kedua, tak perlu senaraikan apa barang yang nak dibeli.

"Syarat seperti perlu kemukakan sebut harga tidak perlu kerana kita sudah tahu mereka terjejas dan peralatan mesin mereka rosak. Maksimum bantuan diberikan RM100,000, jadi terpulang kepada mereka bagaimana mahu menggunakannya," katanya pada Majlis Penyampaian SMEEF 2.0 dan Pelancaran Pelan Anti Rasuah SME Corp, di sini hari ini.

Katanya, SMEEF 2.0 memberikan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM100,000 dengan tempoh bayaran balik selama lima tahun bersama moratorium setahun, membabitkan peruntukan keseluruhan RM100 juta.

Noh berkata, disebabkan pelbagai syarat yang dianggap membebankan, tidak ramai usahawan berminat memohon pinjaman disediakan itu, malah daripada 200 usahawan PKS yang dikenal pasti terjejas dengan bencana terbabit, hanya 20 memohon dan ditawarkan SMEEF 2.0 setakat ini.

"Mungkin sebab ini pinjaman, mereka (usahawan terjejas) sudah tiada wang, maka tidak mahu buat pinjaman. Sebaliknya, banyak PKS minta geran. Kita tahu RM100,000 tak mencukupi, contohnya kalau mesin rosak, sudah beratus ribu ringgit (untuk baiki), kalau bengkel dengan kereta rosak, memang (pinjaman) tak cukup.

"Namun, ini tanda kerajaan bantu ringankan beban usahawan," katanya yang sedikit kecewa dengan kelewatan proses dan pengagihan dana pinjaman berkenaan, seterusnya meminta usahawan yang terkesan mendapatkan maklumat di talian hotline SME CORP.

"Sepatutnya hari ini semua usahawan yang datang terus terima cek tunai mereka, tidak perlu replika cek kerana kita tahu mereka memang inginkan bantuan itu. Sebagaimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, segerakan pemberian bantuan, jangan terlalu banyak syarat yang tidak sepatutnya," katanya.

Katanya, tiada jangka masa ditetapkan untuk pengagihan bantuan pinjaman berkenaan dan ia akan diberikan sehingga peruntukan RM100 juta yang diluluskan habis diagih.

"Saya harap usahawan ambil peluang ini dan semua wakil persatuan, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menyampaikan mesej ini dan membantu menyerahkan nama kepada agensi terbabit," katanya.

IKS yang berminat boleh berhubung dengan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di talian 1300-88-6433 atau emel ke growyourbusiness@midf.com.my atau layari www.growyourbusiness.com.my.

Mengenai OACP SME Corp, Noh berkata, ia adalah dokumen dasar antirasuah bagi menangani permasalahan dan kelemahan tadbir urus, integriti dan antirasuah di dalam sesebuah organisasi.

Berita Harian X